Berita Terkini ASEAN25: ASEAN kecam keganasan berterusan di Myanmar, gesa terima pakai 5PC segera

Kerajaan Myanmar perlu memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan berjalan lancar; dan memberi kerjasama penuh terhadap lawatan utusan khas ASEAN ke Myanmar.
KUALA LUMPUR: Pemimpin negara-negara ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa berhubung konflik kemanusiaan di Myanmar yang semakin meruncing, serta kelembapan proses pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Dalam satu kenyataan pada malam Ahad, ASEAN menyatakan, pemimpin negara serantau turut mengecam tindakan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Myanmar, fasiliti awam, dan infrastruktur.
ASEAN menggesa semua pihak terlibat untuk mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan keganasan secara sewenang-wenangnya, menolak sebarang peningkatan konflik, serta mengamalkan tahap kawalan yang paling tinggi.
Selain itu ia menyarankan agar Kerajaan Myanmar dapat memastikan perlindungan dan keselamatan semua orang awam, serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penyampaian bantuan kemanusiaan dan dialog politik nasional yang inklusif.
“Kami mengulangi komitmen berterusan ASEAN untuk membantu Myanmar mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap krisis yang sedang berlaku, memandangkan Myanmar kekal sebagai sebahagian penting dalam ASEAN.
“Kami menghargai usaha Pengerusi ASEAN (Malaysia) dalam memastikan kemajuan pelaksanaan 5PC secara menyeluruh, dengan matlamat tunggal untuk memulihkan keamanan, kestabilan dan demokrasi melalui penyelesaian politik yang komprehensif yang dimiliki dan diketuai oleh Myanmar sendiri,” katanya lagi.
Kenyataan tersebut menyebut, pandangan itu disuarakan oleh pemimpin serantau ASEAN, susulan cadangan yang dikemukakan Mesyuarat Ke-37 Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 9 Julai dan 25 Oktober 2025.
Media sebelum ini melaporkan serangan udara oleh Tentera Myanmar pada 7 Oktober lepas ke atas orang awam yang sedang menyambut Festival Thadingyut dan mengadakan tunjuk perasaan anti-junta di daerah Chaung U, wilayah tengah Myanmar.
Serangan tersebut menggunakan paragliding bermotor yang menjatuhkan dua bom, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang termasuk kanak-kanak, dan mencederakan sekitar 80 orang.
Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN antara lain menegaskan keperluan untuk Kerajaan Myanmar menghentikan keganasan dengan segera; mengadakan dialog konstruktif dengan semua pihak; dan menyambut pelantikan utusan khas ASEAN.
Selain itu Kerajaan Myanmar perlu memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan berjalan lancar; dan memberi kerjasama penuh terhadap lawatan utusan khas ASEAN ke Myanmar.
Dalam pada itu ASEAN turut menyambut lawatan kerja Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, ke Nay Pyi Taw, Myanmar pada 9 Oktober 2025, dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan krisis di Myanmar.
“Kami memuji usaha Pengerusi ASEAN, melalui Utusan Khasnya, dalam mewujudkan penglibatan inklusif dengan semua pihak berkepentingan yang relevan di Myanmar dengan mempromosikan dialog nasional yang inklusif dengan semua pihak terlibat.
“Kami turut mengiktiraf bahawa pendekatan ASEAN yang mampan, objektif dan inklusif merupakan langkah penting dalam membina kepercayaan dan merapatkan jurang antara pelbagai pihak berkepentingan, memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan secara selamat kepada rakyat Myanmar,” katanya lagi.
ASEAN berkata bantuan tersebut perlu sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa diskriminasi, serta mempromosikan penghentian keganasan dan mewujudkan dialog nasional yang inklusif.
Pada masa yang sama ASEAN turut menghargai sumbangan oleh Negara-Negara Anggota ASEAN, rakan luar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sektor swasta dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Langkah itu, menurutnya lagi, membolehkan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) memberikan tindak balas yang berkesan dan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar secara inklusif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


