Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Brazil komited laksana peralihan tenaga bersih, kukuh hubungan dagang

Syafik Shukri Jalil 27/10/2025 | 06:34 MYT
Lula bercakap dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara, pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Brazil menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan peralihan tenaga daripada bahan api fosil walaupun Brazil masih merupakan antara pengeluar minyak utama dunia.


Ringkasan AI
  • Presiden Lula da Silva menegaskan Brazil akan mempercepatkan peralihan daripada bahan api fosil walaupun masih menjadi pengeluar minyak utama dunia.
  • Brazil mahu memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala dengan negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia, kerana nilai semasa dianggap terlalu rendah berbanding potensi sebenar.
  • Lula menekankan pentingnya hubungan diplomatik berasaskan kepercayaan serta menyatakan Brazil kini lebih berdikari dan tidak lagi bergantung kepada AS atau EU untuk menyelesaikan isu domestik.


Menurut Presiden Luis Inacio Lula da Silva, dunia kini memerhati keupayaan Brazil menyeimbangkan pembangunan ekonomi berasaskan minyak dengan agenda hijau yang agresif.

“Brazil ialah negara yang memiliki minyak, tetapi dalam masa yang sama komited untuk mempercepatkan peralihan daripada bahan api fosil. Dunia ingin tahu bagaimana kami melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara, pada Isnin.

Selain itu, Lula berkata, Brazil juga akan terus meneroka potensi kerjasama baharu bersama negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia, bagi memperkukuh rangkaian perdagangan dan pelaburan dua hala.

Ini kerana dedahnya, nilai perdagangan Brazil dengan kedua-dua negara kini hanya sekitar AS$12 bilion (RM58.4 bilion), jumlah yang disifatkan terlalu kecil berbanding potensi sebenar rantau ini.

“Jumlah inimenunjukkan masih kurang keberanian dalam kalangan ahli perniagaan dan menteri kami (di Brazil).

“Daripada hanya duduk di pejabat, mereka perlu menjelajah dunia untuk menjual apa yang Brazil hasilkan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, negara-negara ASEAN mempunyai hubungan persahabatan yang mendalam dengan Brazil serta mengagumi model pembangunan dan peluang pelaburan yang ditawarkan negara Amerika Selatan itu.

“Brazil kini telah meninggalkan era lama di mana kami hanya memandang kepada Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah (EU) untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.

“Kami akhirnya sedar bahawa hanya rakyat Brazil sendiri boleh menyelesaikan masalah Brazil,” katanya lagi.

Lula menegaskan, langkah memperkukuh ekonomi Brazil perlu disokong dengan peningkatan perdagangan antarabangsa dan kemasukan pelaburan asing, yang hanya boleh dicapai melalui keyakinan serta hubungan diplomatik yang berasaskan kepercayaan.



#ASEAN25 #Brazil #Luis Inacio Lula da Silva #hubungan dagang