Berita Terkini ASEAN25: EU mahu perkukuh hubungan dengan ASEAN - Costa

Presiden Majlis Eropah Antonio Costa (tengah) hadir di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) berhasrat memperkukuh kerjasama strategiknya dengan ASEAN dengan memberi tumpuan terhadap rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan pengukuhan kerjasama rantaian bekalan, kata Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.
Ringkasan AI
- EU berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan ASEAN, termasuk rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan pengukuhan rantaian bekalan dalam menghadapi cabaran global.
- Rundingan FTA antara EU dan Malaysia disambung semula, selepas tertangguh sejak 2012 akibat isu dasar sawit, subsidi dan kemampanan; EU juga sedang berunding dengan Filipina dan Thailand.
- EU merupakan rakan dagang ketiga terbesar ASEAN, dengan perdagangan dua hala mencecah AS$292.57 bilion dan pelaburan langsung asing sebanyak AS$20.40 bilion pada 2024, serta potensi kerjasama dalam teknologi dan bahan mentah kritikal.
"Dari sudut pandang ekonomi, kami telah membangunkan rangkaian perjanjian perdagangan yang amat penting, termasuk memeterai FTA dengan Vietnam, Singapura dan baru-baru ini Indonesia.
"Kini, kami sedang merunding dengan Malaysia, Filipina dan Thailand," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bernama TV "The Nation" hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi Malaysia, rundingan FTA bermula pada 2010, namun, ia terhenti selepas tujuh pusingan pada 2012 disebabkan kebimbangan Malaysia terhadap dasar perolehan minyak sawit EU, subsidi dan klausa kemampanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan bahawa rundingan akan disambung semula semasa lawatan kerja Anwar ke Brussels tahun lepas.
Costa yang juga bekas Perdana Menteri Portugal percaya bahawa hubungan perdagangan yang dipertingkat adalah cara terbaik untuk meningkatkan kemakmuran dan menggalakkan pertumbuhan bersama.
Mengulas mengenai FTA, beliau berkata EU akan terus meneroka kemungkinan rundingan FTA rantau ke rantau dengan ASEAN dan mengakui perlunya pendekatan pragmatik memandangkan tahap kesediaan berbeza antara negara anggota.
"Jika tidak boleh dilakukan secara rantau ke rantau, maka kita mengadakan rundingan perjanjian secara dua hala, seperti yang telah dilaksanakan dengan tiga negara anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina, dan berharap dapat memuktamadkan perjanjian perdagangan ini secepat mungkin," katanya.
Costa menegaskan meskipun perjanjian perdagangan menyeluruh dengan ASEAN masih dalam perancangan, EU tidak akan membiarkan sebarang cabaran melewatkan kemajuan rundingan tersebut.
"Jika ia boleh dilaksanakan, itu lebih baik. Jika tidak, kita akan teruskan kerjasama secara dua hala. Apa yang penting, kita tidak mahu melewatkan kemajuan perdagangan kita," katanya sambil menambah bahawa perjanjian sebelum ini telah meningkatkan jumlah perdagangan sebanyak 30 hingga 40 peratus.
Jumlah tersebut kata Costa, adalah signifikan bagi EU dan ASEAN serta merupakan cara terbaik untuk memupuk kemakmuran dan pertumbuhan bersama.
Sementara itu, beliau berkata hubungan ekonomi EU-ASEAN berpotensi berkembang dengan lebih luas, terutamanya dalam sektor baharu seperti teknologi dan bahan mentah kritikal.
Menurut statistik ASEAN, jumlah perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan EU mencapai AS$292.57 bilion (AS$1 = RM4.20) pada 2024.
Selain itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari EU ke ASEAN berjumlah AS$20.40 bilion pada 2024, menjadikan EU sebagai rakan dagang ketiga terbesar ASEAN dan sumber FDI luaran kedua terbesar.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

