Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: EU-ASEAN perlu perkukuh kerjasama ke arah Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2027 - Costa

Bernama 26/10/2025 | 08:23 MYT
EU berbangga dapat bekerjasama dengan ASEAN sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam landskap geopolitik dunia yang semakin berubah. - Reuters
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN perlu terus memperkukuh kerjasama ke arah mencapai Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2027, kata Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.

Beliau berkata ulang tahun ke-50 hubungan EU-ASEAN pada 2027 akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengeratkan kerjasama dengan menangani isu yang menjadi cabaran bersama seperti perubahan iklim, perlindungan lautan dan transformasi teknologi.

Usaha itu termasuk meneroka bidang kerjasama baharu dalam pendigitalan, keselamatan dan pendidikan, katanya.

"Kerjasama kita bersifat jangka masa panjang dan strategik. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan yang aman, makmur dan stabil. Anda boleh mengharapkan EU sebagai rakan yang boleh dipercayai, memahami dan boleh diharap.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada anda bagi penganjuran sidang kemuncak ini dan menantikan untuk meraikan ulang tahun ke-50 hubungan EU-ASEAN pada 2027," katanya dalam ucapan pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Majlis Penyerahan Protokol Kedua untuk Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) di sini, hari ini.

Costa berkata EU berbangga dapat bekerjasama dengan ASEAN sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam landskap geopolitik dunia yang semakin berubah.

"Kita berada dalam dunia multipolar yang semakin berpecah dan penuh ketidaktentuan justeru, penting untuk kita membina rangkaian kerjasama global merentas rantau, sekali gus mempertingkatkan perkongsian kita," katanya.

Beliau berkata EU ialah rakan dagang ketiga terbesar dan pelabur ketiga tertinggi di ASEAN, dengan ekonomi yang amat saling berkait terus menjana peluang, pertumbuhan dan kestabilan.

Presiden Majlis Eropah itu turut berkata EU dan ASEAN perlu memastikan keterjaminan rantaian bekalan, mempelbagaikan kerjasama, menggalakkan perdagangan mampan serta membina daya tahan dalam sektor penting.

Beliau berkata EU baru sahaja memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Indonesia, perjanjian ketiga seumpamanya dengan negara anggota ASEAN, selepas perjanjian sebelumnya dengan Singapura dan Vietnam.

Costa berkata rundingan FTA dengan Thailand, Filipina dan Malaysia pula sedang berjalan dengan baik.

Beliau berkata semasa Forum Global Gateway di Brussels baru-baru ini, EU menegaskan semula sokongannya terhadap projek utama kesalinghubungan blok ASEAN termasuk Grid Tenaga ASEAN yang sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".

Kerjasama EU-ASEAN juga berasaskan kepentingan keselamatan bersama, khususnya keselamatan maritim, serta komitmen bersama terhadap Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka berlandaskan undang-undang antarabangsa, katanya.

Beliau berkata kedua-dua blok itu berkongsi komitmen terhadap multilateralisme, sistem antarabangsa berasaskan peraturan serta prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping menegaskan undang-undang antarabangsa mesti dipertahankan.

EU juga mengulangi komitmennya terhadap keamanan yang berkekalan di Ukraine serta untuk melindungi kedaulatan semua negara, katanya.



ASEAN-COSTA 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Peneraju Majlis Eropah itu juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan dalam menjadi perantara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand pada Julai.

Usaha itu menunjukkan komitmen ASEAN terhadap keamanan, kestabilan dan dialog, katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kejayaan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dan menyatakan penghargaan atas jemputan Perdana Menteri kepada EU untuk menyertai sidang kemuncak itu buat kali pertama.

Costa juga mengucapkan tahniah kepada ASEAN atas kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota yang ke-11 sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam menggalakkan saling bergantungan ekonomi dan politik Timor-Leste serta memperkukuh integrasi serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula hari ini hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini akan menghimpunkan para pemimpin ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun, manakala India bakal menyertai secara dalam talian.

Sidang kemuncak itu menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan blok tersebut pada 1967.

Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas menjadi tuan rumah pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

#ASEAN Summit 2025 #Sidang Kemuncak ASEAN #Antonio Costa #Kesatuan Eropah #EU #ASEAN