Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Forum Asia Timur perlu gesa keamanan berkekalan di Gaza, Myanmar – PM

Firdaus Azil 27/10/2025 | 08:41 MYT
Perdana Menteri sewaktu berucap di pembukaan Forum Asia Timur (EAS) ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia pada Isnin menggesa agar negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) memberi tumpuan dalam memastikan keamanan yang berkekalan di dua wilayah yang sedang bergolak, iaitu Palestin dan Myanmar.


Ringkasan AI
  • PM Anwar Ibrahim menyeru negara anggota EAS untuk memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan keamanan berkekalan di Gaza dan Myanmar, selaras dengan prinsip multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
  • Malaysia menyambut baik pelan damai Presiden AS Donald Trump untuk Gaza dan menekankan keperluan gencatan senjata serta akses penuh bantuan kemanusiaan di Myanmar.
  • Anwar menegaskan bahawa penyelesaian isu Laut China Selatan harus dipacu oleh ASEAN dan rakan serantau, bukan kuasa luar, dengan berpandukan undang-undang antarabangsa dan Kod Tata Laku.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan pendirian EAS selama ini yang sentiasa berpegang kepada keamanan global, keselamatan dalam multilateralisme, serta pematuhan kepada undang-undang dunia.

Menyentuh mengenai Gaza, beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan EAS tahun ini mengalu-alukan pelan komprehensif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghentikan konflik di Gaza.

“Ini merupakan permulaan yang penting dan kritikal untuk menghentikan kegilaan, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman ini.

“Namun kami telah menggesa agar usaha ini diteruskan dan dipantau secara rapi supaya wujud keamanan yang berkekalan, penyelesaian politik yang inklusif, adil dan berpanjangan untuk Palestin,” tegasnya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap di pembukaan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

EAS, yang pertama kali ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 2005, memberi tumpuan terhadap dialog berkaitan politik, keselamatan, dan isu ekonomi di rantau Asia-Pasifik.

Ia dianggotai oleh sebelas negara anggota ASEAN, serta rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, India, New Zealand, dan Korea Selatan.

Forum kali ini diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dan memberi tumpuan terhadap konflik Asia Barat; krisis Myanmar; ketegangan Laut China Selatan; serta perang Rusia-Ukraine.

Menyentuh mengenai Myanmar, Perdana Menteri berkata, ASEAN bimbang dengan tahap kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC), tetapi masih komited untuk memberikan semua bentuk sokongan kemanusiaan yang diperlukan dengan dua syarat.

“Pertama, gencatan senjata serta-merta dan hentikan pengeboman. Kedua, bantuan kemanusiaan termasuk hospital medan ASEAN di Myanmar mesti diberikan akses penuh kepada semua pihak, tanpa mengira kaum minoriti atau kecenderungan politik,” katanya lagi.

Biarpun masih terdapat beberapa insiden tembakan di Myanmar, Perdana Menteri berkata ada sedikit kemajuan sepanjang setahun yang lalu.

“Saya bertemu beliau (Min Aung Hlaing) sekali lagi di Beijing, menyeru gencatan senjata dan menyatakan Konsensus ASEAN mengenai keperluan pilihan raya yang inklusif, adil dan bebas. Sudah tentu, kami tidak semestinya bersetuju dengan semua pandangan beliau.

“Tetapi saya tetap menggesa rakan-rakan untuk terus berinteraksi, meneruskan bantuan kemanusiaan, dan membenarkan mereka mengurus hal ehwal negara Myanmar melalui mekanisme nasional mereka sendiri, serta berinteraksi dengan semua pihak,” tegasnya lagi.

Selain itu, Anwar berkata, EAC memberi fokus tentang konflik di Laut China Selatan, dan menyambut baik kesediaan semua pihak terlibat untuk merangka Kod Tata Laku.

“Namun seperti isu lain, kami mahu ia diselesaikan dalam kalangan ASEAN dan ASEAN bersama rakan-rakan serantau. Kerana apabila ia dilihat sebagai sesuatu yang dipaksakan atau ditentukan oleh kuasa luar, keadaan menjadi lebih rumit dan tegang. Setakat ini, kami percaya keadaan masih terkawal.

“Kami tetap menggesa agar semua pihak terus terlibat dalam rundingan ini, berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, khususnya Klausa 1982 dan Kod Tata Laku,” katanya lagi.





#ASEAN25 #Sidang Kemuncak Asia Timur #Anwar Ibrahim #Gaza #Myanmar #terkini