Berita Terkini ASEAN25: KKR perkukuh kerjasama dengan MOLIT Korea Selatan - Nanta

Nanta mengiringi dan menghantar pulang Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, selepas lawatan rasmi beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. - FB Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea Selatan dalam bidang pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS).
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya dan MOLIT Korea Selatan mencapai kemajuan ke arah menandatangani MoU dalam pembangunan infrastruktur dan teknologi pembinaan.
- MoU bakal membuka ruang kerjasama dalam sistem pengangkutan pintar (ITS), pengurusan aset jalan raya, serta dasar berkaitan jalan bertol.
- Kerjasama ini dijangka mempercepat inovasi mobiliti pintar dan pembinaan moden, memperkukuh hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.
Mesyuarat dua hala itu diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Nanta berkata kedua-dua kementerian kini telah mencapai kemajuan penting ke arah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan yang akan dimeterai dalam masa terdekat.
"MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih mendalam menerusi bidang utama, iaitu sistem tol pintar dan ITS; sektor pembinaan pintar dan lestari; penyelenggaraan, pengurusan dan operasi aset jalan raya; serta dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan jalan bertol," katanya.
Nanta berkata kerjasama ini dijangka mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dari Korea Selatan, khususnya dalam bidang mobiliti pintar dan inovasi pembinaan, sekali gus memperkukuh pertumbuhan bersama dan hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.
"KKR amat menghargai dedikasi, komitmen dan semangat kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Republik Korea sepanjang proses rundingan ini.
"Ia menjadi asas kukuh kepada usaha bersama dalam membina ekosistem infrastruktur yang moden, berdaya tahan dan mampan demi manfaat rakyat kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

