Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: KKR perkukuh kerjasama dengan MOLIT Korea Selatan - Nanta

Bernama 27/10/2025 | 11:00 MYT
Nanta mengiringi dan menghantar pulang Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, selepas lawatan rasmi beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. - FB Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea Selatan dalam bidang pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS).


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya dan MOLIT Korea Selatan mencapai kemajuan ke arah menandatangani MoU dalam pembangunan infrastruktur dan teknologi pembinaan.
  • MoU bakal membuka ruang kerjasama dalam sistem pengangkutan pintar (ITS), pengurusan aset jalan raya, serta dasar berkaitan jalan bertol.
  • Kerjasama ini dijangka mempercepat inovasi mobiliti pintar dan pembinaan moden, memperkukuh hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hal ini selaras dengan peningkatan hubungan Malaysia-Korea kepada Rakan Strategik.

"Saya dan seluruh pasukan KKR mengalu-alukan mesyuarat dua hala yang amat bermakna hari ini antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung yang sekali lagi menzahirkan kekuatan serta keakraban hubungan dua hala," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mesyuarat dua hala itu diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Nanta berkata kedua-dua kementerian kini telah mencapai kemajuan penting ke arah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan yang akan dimeterai dalam masa terdekat.

"MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih mendalam menerusi bidang utama, iaitu sistem tol pintar dan ITS; sektor pembinaan pintar dan lestari; penyelenggaraan, pengurusan dan operasi aset jalan raya; serta dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan jalan bertol," katanya.

Nanta berkata kerjasama ini dijangka mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dari Korea Selatan, khususnya dalam bidang mobiliti pintar dan inovasi pembinaan, sekali gus memperkukuh pertumbuhan bersama dan hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.

"KKR amat menghargai dedikasi, komitmen dan semangat kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Republik Korea sepanjang proses rundingan ini.

"Ia menjadi asas kukuh kepada usaha bersama dalam membina ekosistem infrastruktur yang moden, berdaya tahan dan mampan demi manfaat rakyat kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA





#Kementerian Kerja Raya KKR #perkukuh kerjasama #MOLIT Korea Selatan #Alexander Nanta Linggi #ASEAN25