MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: KSN seru petugas awam, swasta ganding bahu pastikan kelancaran

Bernama 23/10/2025 | 20:30 MYT
Shamsul Azri menyeru seluruh petugas awam dan swasta yang terlibat dalam penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berganding bahu dalam memastikan kelancaran program. - Foto Facebook/Shamsul Azri Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyeru seluruh petugas awam dan swasta yang terlibat dalam penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berganding bahu dalam memastikan kelancaran program.

Menerusi hantaran di Facebook, Shamsul Azri berkata perkara itu selari dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang menjadi simbolik kepada kesatuan, kesejahteraan, kemakmuran dan prinsip saling menghormati dalam kalangan negara ASEAN.

"Menjelang tiga hari lagi penganjuran program berprestij Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025 pastinya telah bersedia dan mengalu-alukan kehadiran ramai pemimpin utama dunia dan delegasi antarabangsa.

"Buat seluruh petugas awam dan swasta baik di lapangan terbang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hotel penginapan termasuk barisan pasukan keselamatan, perubatan dan seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru tampilkan sikap kemesraan, profesional, ketinggian budi dan bersama berganding bahu dalam memastikan kelancaran program.

"Citra kebudayaan dan keunikan kepelbagaian yang ada di Malaysia pastinya menjadi tumpuan dunia. Hulurkan salam, lemparkan senyuman. Biar satu dunia tahu, Malaysia hebat!," katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Okt ini, dengan lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi serta pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

-- BERNAMA





#Sidang Kemuncak ASEAN #ketua setiausaha negara #Shamsul Azri Abu Bakar #ganding bahu