Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia, Brazil komited pertingkat hubungan dua hala dalam pelbagai sektor - PM Anwar

Bernama 25/10/2025 | 06:38 MYT
Anwar (kanan) pada sidang media bersama Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva (kiri) selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana, pada Sabtu. -Foto Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Brazil bertekad memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga serta pembangunan insan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Brazil bertekad memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor perdagangan, pelaburan, tenaga, semikonduktor, teknologi makanan, pendidikan dan budaya.
  • Kedua-dua negara berpotensi menjadi tonggak kerjasama antara ASEAN dan Amerika Latin, serta bersetuju meningkatkan import produk ternakan dari Brazil.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji pendirian Presiden Lula da Silva dalam isu Palestin dan mengiktiraf kepimpinan beliau melalui penganugerahan Ijazah Kehormat oleh UKM.


Beliau berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperluas dan memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan, pendidikan dan budaya.

"Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang semikonduktor yang boleh dikongsikan dengan Brazil manakala Brazil pula memiliki kelebihan dan pengalaman luas dalam bidang teknologi makanan.

"Kami turut membincangkan kemungkinan untuk meningkatkan import produk ternakan dari Brazil," katanya pada sidang media bersama Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Anwar berkata Malaysia dan Brazil juga berpotensi menjadi rakan kongsi utama dalam memacu kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan rantau Amerika Selatan.

"Marilah kita pastikan kedua-dua negara dan rantau kita iaitu Amerika Latin dan ASEAN menjalinkan kerjasama erat, dan kita menjadi antara tonggak utama dalam memastikan hubungan ini melangkaui pelaburan perdagangan, politik dan budaya," katanya.

Pada sidang media itu, Anwar turut memuji pendirian Lula dalam menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu perjuangan yang amat dekat di hati rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan Presiden Brazil itu sebagai antara segelintir pemimpin dunia yang unggul dan berani bersuara menentang kekejaman tersebut.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Lula atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkasakan negara-negara Selatan Global, pada majlis konvokesyen khas yang berlangsung hari ini.

Lula kini berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi dari 25 hingga 27 Okt ini dan dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023, dan juga lawatan pertama seorang Presiden Brazil ke Sidang Kemuncak ASEAN selepas negara itu menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022.

-- BERNAMA








#Anwar Ibrahim #Brazil #Luiz Inacio Lula da Silva #Hubungan dua hala #ASEAN25