Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia-AS meterai perjanjian tarif timbal balas, syarat akhir lebih baik daripada rundingan awal

Nina Rozman 26/10/2025 | 12:28 MYT
Menurut Tengku Zafrul, tiada perubahan terhadap komitmen asal yang telah diumumkan, namun hasil akhir perjanjian ini lebih baik daripada apa yang dipersetujui sebelum ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini memeterai Perjanjian Tarif Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Tariffs – ART) dengan Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25% kepada 19%, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.

Majlis pemeteraian disaksikan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bersama Wakil Perdagangan AS, Duta Jamieson Greer; dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Tengku Zafrul, tiada perubahan terhadap komitmen asal yang telah diumumkan, namun hasil akhir perjanjian ini lebih baik daripada apa yang dipersetujui sebelum ini.

“Perjanjian ini memuktamadkan apa yang telah kita capai sebelum ini, tetapi dengan syarat yang lebih baik. Amerika Syarikat menawarkan akses pasaran yang lebih luas dan lebih terjamin,” katanya.

Melalui ART, Malaysia memperoleh pengecualian ke atas 1,711 talian tarif merangkumi produk utama seperti minyak sawit, getah, koko, alat ganti pesawat dan farmaseutikal, yang mewakili 12% daripada eksport Malaysia ke AS bernilai kira-kira AS$5.2 bilion.

Tengku Zafrul menegaskan, langkah ini bukan sahaja menjamin daya saing eksport Malaysia, malah menambah baik kedudukan negara dalam rantaian nilai global.

Penurunan tarif turut memudahkan akses kepada produk AS berteknologi tinggi seperti peralatan perubatan, perkakasan IT dan alat automasi yang boleh digunakan oleh pengilang tempatan untuk meningkatkan kecekapan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Persekitaran perdagangan yang lebih terbuka dan boleh diramal akan meningkatkan keyakinan pelabur. Syarikat AS kini lebih cenderung memperluas operasi mereka di Malaysia,” tambah beliau.

Perjanjian ini menandakan lonjakan positif dalam hubungan perdagangan dua hala Malaysia–AS, dengan syarat yang bukan sahaja lebih baik daripada rundingan awal, tetapi juga membuka peluang baharu untuk industri tempatan berkembang secara mampan di pasaran global.


#ASEAN #tarif #perjanjian perdagangan #Tengku Zafrul #Amerika Syarikat #Malaysia