Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia pertama kali hos Sidang Kemuncak RCEP sejak 2020

Seth Akmal 27/10/2025 | 08:04 MYT
PM Anwar mempengerusikan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara, pada Isnin. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai amat penting.

Menurut Anwar, sidang kali ini merupakan pertemuan pertama pemimpin RCEP sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Sidang kali ini amat signifikan kerana ia merupakan perhimpunan pertama pemimpin RCEP sejak perjanjian itu ditandatangani pada 2020, ketika dunia berdepan kemuncak wabak COVID-19.

“Sejak itu, pelaburan, perdagangan dan pertukaran tenaga kerja antara negara anggota berkembang pesat, membuktikan daya tahan kita bersama serta semangat RCEP dalam berkongsi kemakmuran serantau,” katanya.

Anwar berkata demikian selaku Pengerusi ASEAN semasa menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak RCEP kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

PM Anwar turut menggesa negara anggota untuk memanfaatkan peluang sidang kali ini bagi memperkukuh kerjasama strategik dan memastikan kestabilan jangka panjang di rantau Asia Pasifik.

“Rebutlah peluang ini untuk mengadakan dialog yang terbuka, berpandangan jauh dan membina. Dengan bekerjasama, kita bukan sahaja dapat melihat hasilnya, tetapi juga memastikan asas kukuh bagi keamanan dan kemakmuran berkekalan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

RCEP menghimpunkan 15 negara anggota termasuk 10 negara ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Sidang kali ini diadakan bagi menilai kemajuan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia itu sejak ia berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Malaysia menjadi tuan rumah buat pertama kali sejak perjanjian RCEP dimeterai empat tahun lalu, dengan tumpuan terhadap pengukuhan rantaian bekalan, pelaburan digital dan kerjasama ekonomi hijau antara negara anggota.




#Anwar Ibrahim #Berita Terkini ASEAN25 #COVID-19 #keamanan dan kemakmuran di rantau ASEAN #Donald Trump