Berita Terkini ASEAN25: Malaysia seru syarikat Brazil rebut peluang dalam ASEAN melalui pintu masuk KL

Fadillah (kanan) bersama Lula da Silva bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula di sini hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru syarikat-syarikat dari Brazil agar merebut peluang luas yang ditawarkan rantau ASEAN, dengan Malaysia menyediakan destinasi pelaburan dinamik dan pintu masuk yang diyakini ke pasaran Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia menawarkan syarikat Brazil akses luar biasa ke pasaran yang merangkumi lebih 600 juta pengguna.
"Ini membuka ruang kepada pelabur dan pengeksport Brazil untuk memanfaatkan rangkaian hubungan, infrastruktur serta persekitaran mesra perniagaan di Malaysia bagi memperoleh sepenuhnya potensi ekonomi Asia Tenggara yang berkembang pesat," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia-Brazil 2025 di sini hari ini.
Acara itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula di sini hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Turut hadir Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
Fadillah berkata Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia-Brazil 2025 menyediakan platform tepat pada masanya untuk memperdalam kerjasama ekonomi dua hala dan membuka peluang baharu dalam perdagangan serta pelaburan, terutama ketika Malaysia memacu ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu dan mampan di bawah kepengerusian semasanya.
Beliau berkata pada 2024, Brazil kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin, dengan jumlah dagangan meningkat 16.6 peratus kepada lebih USD4.46 bilion, sementara eksport mencecah AS$0.9 bilion manakala import meningkat kepada AS$3.55 bilion.
"Hubungan dagang yang positif dan semakin berkembang ini menunjukkan kepada kerjasama yang dipertingkat dan pertumbuhan bersama pada masa hadapan.
"Malaysia turut mengalu-alukan pelabur Brazil untuk meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor, aeroangkasa, tenaga khususnya minyak, gas dan bahan api biologi, pertanian serta industri halal - sama ada melalui pelaburan, pemindahan teknologi atau perkongsian penyelidikan dan pembangunan yang saling memberi manfaat," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


