Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia sesuai jadi negara anggota BRICS - TPM Rusia

Seth Akmal 27/10/2025 | 11:30 MYT
Overchuk pada sidang media Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai ciri-ciri yang sesuai sebagai sebuah negara untuk menyertai negara blok ekonomi BRICS.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk turut mengesahkan bahawa cadangan tersebut turut dibincangkan dalam lawatan beliau ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Malah Overchuk turut menyatakan bahawa penyertaan tersebut bukan satu paksaan sebaliknya peluang negara anggota bertukar pandangan dalam menghadapi cabaran global.

“BRICS ialah kumpulan negara yang membina hubungan berasaskan saling menghormati dan berpegang pada prinsip konsensus.

“Tiada negara yang memaksa negara lain dalam BRICS, negara-negara anggota bertukar pandangan tentang isu global serta pendekatan bersama terhadap isu strategik yang membentuk dunia moden, dalam konteks ini, Malaysia sangat sesuai dengan ciri-ciri tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan.

Sementara itu, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menyatakan sokongan padu terhadap hasrat Malaysia untuk menyertai blok ekonomi BRICS sebagai anggota penuh.

Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang sehaluan, berkongsi nilai yang sama serta memiliki potensi ekonomi yang semakin menyerlah di peringkat global.

Pada 24 Oktober 2024, Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi diterima sebagai rakan kepada BRICS.

BRICS ialah kumpulan ekonomi pesat membangun yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Kumpulan ini juga menubuhkan New Development Bank (NDB) bagi menyokong projek infrastruktur dan pembangunan mampan di negara-negara anggota dan negara membangun lain.



#ASEAN #BRICS #sidang kemuncak #negara membangun