MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia tekad perkasa ASEAN kekal relevan, responsif - PM

Faida Rahim 26/10/2025 | 02:00 MYT
Anwar dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC, Kuala Lumpur, hari ini. - Sumber foto AP
KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bertekad untuk menyelaraskan semula keutamaan blok serantau itu agar kekal berdaya tahan, relevan dan responsif terhadap perubahan zaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berkata, usaha tersebut dilaksanakan bersama negara anggota lain dengan matlamat memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau, khususnya berhubung situasi di Myanmar.

“Kita sedar bahawa usaha ini memerlukan kesabaran dan ketekunan, serta pengiktirafan jujur terhadap realiti di lapangan.

"Berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan segala saluran dan rakan yang ada untuk mengurangkan keganasan serta meringankan krisis kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, dipandu oleh Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan setiap saluran dan rakan kongsi yang ada untuk mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan.

[TERKINI] Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

"Namun, keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksakan. Ia mesti dimiliki dan dipimpin oleh Myanmar sendiri hanya dengan itu pendamaian akan kekal," katanya.

Anwar turut menekankan bahawa keamanan dan kemakmuran relatif yang dinikmati ASEAN selama hampir enam dekad bukanlah sesuatu yang bersifat kekal, sebaliknya perlu diperbaharui melalui kerjasama erat dan semangat kebersamaan.

“Justeru, ASEAN kini giat memperkukuhkan hubungan ekonomi, meluaskan perdagangan dan meningkatkan daya saing. Naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang akan dilancarkan pada sidang kemuncak ini dijangka mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar, sekali gus membuka peluang skala, kecekapan dan manfaat kepada perniagaan serta tenaga kerja kita,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober menghimpunkan pemimpin negara anggota bagi membincangkan pelbagai isu serantau termasuk ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan.





#Anwar Ibrahim #Konsensus Lima Perkara #Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 #ASEAN25