Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Pemimpin ASEAN bincang perkukuh integrasi serantau, pacu pertumbuhan ekonomi - Wisma Putra

Bernama 25/10/2025 | 03:30 MYT
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" di KLCC dari 26 hingga 28 Okt 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Para pemimpin ASEAN akan berkumpul selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan menumpukan perbincangan kepada isu berkaitan pembinaan Komuniti ASEAN serta hubungan luar.


Ringkasan AI
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur (2628 Okt 2025) menumpukan kepada pembinaan Komuniti ASEAN, integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi, dan hubungan luar di bawah tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
  • Pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa akan membincangkan isu perdagangan, tenaga hijau, ekonomi digital, serta krisis Myanmar termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
  • Malaysia menandakan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk menyaksikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dan akan menyerahkan kepengerusian kepada Filipina pada 1 Januari 2026.


Para pemimpin juga akan membincangkan langkah memperdalam integrasi serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keterhubungan ASEAN, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Bagi aspek hubungan luar, ketua negara dan kerajaan 10 negara anggota ASEAN akan meneliti usaha memperkukuh perpaduan dan kepusatan ASEAN, serta memperteguh komitmen blok itu terhadap sistem pelbagai hala berasaskan peraturan dalam landskap geostrategik global yang sedang berubah, menurut kenyataan kementerian itu.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" di KLCC dari 26 hingga 28 Okt 2025.

Sidang kemuncak ini merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu di antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, India, Jepun, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat (AS), serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand menandakan 50 tahun ulang tahun hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand.

Majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual pada 26 Okt. Ia akan dihadiri semua pemimpin ASEAN termasuk Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao selaku tetamu Pengerusi ASEAN, serta tetamu jemputan lain.

Semasa majlis pembukaan itu, upacara Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Lesteke dalam ASEAN akan diadakan bagi menandakan keanggotaan negara tersebut sebagai Negara AnggotaASEAN ke-11.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN 26 Okt nanti, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) juga akan berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh dan memperdalam hubungan dialog masing-masing dengan ASEAN.

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan memberi taklimat kepada para pemimpin mengenai penilaian makroekonomi global terkini, implikasi dasar terhadap ASEAN serta peluang memperkukuh kerjasama IMF-ASEAN.

Dalam Sesi Pemukiman, para pemimpin akan menilai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar serta membincangkan hala tuju seterusnya dalam menangani krisis politik dan kemanusiaan di negara itu, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu, para pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dialog dan hala tuju masa depannya, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, ketahanan rantaian bekalan, pendigitalan, tenaga boleh diperbaharui, pertumbuhan hijau serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, menurut kementerian itu.

Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand. Semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand, para pemimpin dijangka mengumumkan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN-New Zealand.

Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) pada 27 Okt akan menghimpunkan pemimpin ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan bagi menilai kemajuan kerjasama di bawah rangka kerja APT serta membincangkan hala tuju masa depannya, dengan tumpuan kepada ekonomi digital, kerjasama maritim, tenaga, keterhubungan, kesihatan dan pendidikan.

"Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Sidang ini turut melibatkan taklimat oleh tetamu Pengerusi, iaitu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC), mengenai prospek makroekonomi dan kewangan serantau serta pertumbuhan ekonomi rantau ini," menurut Wisma Putra.

Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang akan diadakan pada 27 Okt akan menghimpunkan semua 19 peserta termasuk negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Menurut Wisma Putra, sidang itu akan meneliti pencapaian EAS sempena ulang tahun ke-20 dan menilai kemajuan kerjasama dalam bidang strategik, politik dan ekonomi, dengan matlamat memupuk keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau Asia Timur.

Sidang itu turut akan dihadiri oleh tetamu Pengerusi ASEAN, iaitu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, masing-masing sebagai Pengerusi BRICS dan G20.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ketiga pada 26 Okt serta Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 pada 27 Okt.

Kesemua sidang ini didahului oleh pelbagai mesyuarat di peringkat Menteri Luar, Menteri Ekonomi dan pegawai kanan dari 22 hingga 25 Okt.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan mencerminkan tekad serta komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh agenda integrasi ASEAN dan memajukan visi bersama ke arah keamanan serta kemakmuran serantau.

Sidang ini juga menandakan kemuncak Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebelum tanggungjawab Pengerusi ASEAN diserahkan kepada Filipina pada 1 Jan 2026. Majlis penyerahan rasmi akan diadakan pada 28 Okt.

-- BERNAMA




#Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 #ASEAN25 #pemimpin asean #integrasi serantau