Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Perjanjian damai Thailand-Kemboja perkukuh usaha keamanan sempadan - Menteri Luar Thailand

Faida Rahim 26/10/2025 | 06:02 MYT
Thailand dan Kemboja menandatangani KL Peace Accord sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai langkah rasmi menghentikan permusuhan dan memulihkan keamanan di sempadan. -Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Perjanjian damai yang dikenali sebagai “KL Peace Accord” Thailand dan Kemboja menandakan kemajuan penting dalam usaha kedua-dua negara mencapai keamanan dan kerjasama serantau.


Ringkasan AI
  • Thailand dan Kemboja menandatangani KL Peace Accord sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai langkah rasmi menghentikan permusuhan dan memulihkan keamanan di sempadan.
  • Perjanjian ini merangkumi pengunduran senjata berat, pembanterasan aktiviti haram dan pemulihan hubungan rakyat di kawasan sempadan.
  • Malaysia dan Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjayakan deklarasi ini, yang disifatkan sebagai pencapaian besar diplomasi serantau ASEAN.


Menteri Luar Negeri Thailand, Sihasak Phuanketkaew berkata, perjanjian yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 itu mencerminkan keikhlasan dan komitmen sebenar Kemboja untuk bersama-sama Thailand dalam membina laluan ke arah perdamaian kekal.

“Kami percaya bahawa apa yang telah dipersetujui menunjukkan kesungguhan Kemboja untuk menyertai Thailand dalam usaha ke arah keamanan dan kerjasama.

"Komitmen penuh dan pelaksanaan terhadap perkara yang dipersetujui akan menjadi asas kepada keamanan yang berkekalan,” kata Sihasak dalam sidang media pada Ahad.

Sihasak turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia selaku pengerusi ASEAN dan Amerika Syarikat atas sumbangan mereka dalam menjayakan deklarasi tersebut.

Dalam masa sama, Sihasak menegaskan dokumen yang ditandatangani itu merupakan langkah penting dalam mempercepatkan pelaksanaan isu-isu utama yang telah dipersetujui, termasuk pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan, pembanterasan aktiviti haram seperti penipuan rentas sempadan, serta menangani isu pencerobohan.

Tambah beliau lagi, kedua-dua negara kini memikul tanggungjawab bersama untuk melaksanakan perjanjian tersebut demi membawa keamanan dan keselamatan kepada rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan sempadan.

“Ini akan membuka ruang untuk memperbaharui hubungan dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara, terutamanya di kawasan sempadan,” katanya.

Perjanjian gencatan senjata itu menandakan satu detik bersejarah dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok berkenaan terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”.

Thailand dan Kemboja telah lama bertelagah mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dengan pemangku Perdana Menteri Thailand pada masa itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan pertikaian di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata terbabit, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada bertambah buruk dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.







#ASEAN25 #Sihasak Phuanketkaew #KL Peace Accord #Thailand dan Kemboja