Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: PM Anwar guna platform ASEAN bangkit beberapa isu termasuk Gaza - Fahmi

Bernama 26/10/2025 | 22:30 MYT
Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup RIUH x ASEAN Marketplace 2025 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan forum platform ASEAN dalam dialog bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membangkitkan beberapa perkara termasuk isu Gaza.


Ringkasan AI
  • PM Anwar guna platform ASEAN untuk bangkitkan isu Gaza dalam dialog bersama Presiden AS Donald Trump.
  • Thailand dan Kemboja setuju berdamai melalui Perjanjian Damai KL yang disaksikan oleh Anwar dan Trump.
  • Timor-Leste diterima sebagai anggota ASEAN ke-11, detik bersejarah dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perjanjian Damai KL yang berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam disaksikan Perdana Menteri dan Presiden AS itu, menyaksikan Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan proses pendamaian.

"Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri ada menyentuh perbincangan yang diadakan bersama Presiden Trump. Dalam kereta, perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke Kuala Lumpur, sudah pasti antara perkara yang dibangkitkan tentunya melibatkan Gaza.

"Itu sebabnya kita lihat Perdana Menteri telah menggunakan platform ini untuk menyampaikan satu mesej yang jelas secara terbuka dan secara peribadi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan RIUH x ASEAN 2025, di sini malam tadi.

Mengulas dakwaan yang menyatakan sambutan ketibaan Trump lebih meriah berbanding pemimpin lain, Fahmi menafikan perkata itu dan menjelaskan bahawa ketibaan Presiden China Xi Jinping pada Mei, turut diraikan dengan penuh adat dan kehadiran orang ramai termasuk kanak-kanak.

"Kita ingin menunjukkan kepada kuasa besar dunia bahawa Malaysia ialah rakan dialog yang berhasrat untuk berdiplomasi dengan cara tersendiri," katanya.

Sementara itu Fahmi berkata kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, merupakan detik bersejarah paling bermakna dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

"Selesai acara, saya ke Pusat Media Antarabangsa dan bertemu wartawan Timor-Leste. Mereka menitiskan air mata dan melahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia serta Perdana Menteri, kerana akhirnya selepas 14 tahun mencuba, mereka diterima sebagai anggota ASEAN ke-11," katanya.

Beliau berkata kehadiran pemimpin dan pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat, China, Brazil, Afrika Selatan dan Kanada, membuktikan Malaysia mampu menjadi pemain penting dalam mengemudi perubahan besar dalam diplomasi global serta memastikan matlamat ASEAN tercapai.

-- BERNAMA






#ASEAN25 #Fahmi Fadzil #Perjanjian Damai KL #Amerika Syarikat #Sidang Kemuncak ASEAN ke-47