Berita Terkini ASEAN25: PM Anwar seru ASEAN-Korea tonjol semangat kerjasama

Anwar bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya ASEAN dan Korea Selatan lebih menonjol sebagai blok negara yang percaya bahawa kemajuan mesti dicapai melalui kerjasama erat.
Bercakap selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri berkata, antara ASEAN dan Korea Selatan telah terbina atas asas kepercayaan, toleransi serta manfaat bersama, meskipun berdepan pelbagai cabaran global masa kini.
“Selama lebih tiga dekad, hubungan dialog ASEAN–Republik Korea telah menjadi model berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama.
“Kita bersidang semasa dunia menyaksikan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan yang berpecah-belah, dan tekanan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang kini mentakrif semula landskap ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea (ROK) ke-26 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Anwar menambah, nilai dagangan antara ASEAN dan Korea Selatan pada tahun 2024 telah melebihi AS$200 bilion, menggambarkan kekuatan serta daya tahan hubungan ekonomi dua hala yang semakin matang.
“Lebih daripada angka itu, ASEAN menawarkan peluang besar dalam pelbagai sektor disokong oleh skala, dinamisme dan tenaga muda lebih 600 juta penduduk.
“Sementara itu, Korea membawa inovasi, teknologi dan cita-cita kreatif yang terus memberi inspirasi kepada dunia. Bersama-sama, ASEAN dan Korea Selatan berupaya memainkan peranan penting dalam membentuk ketahanan serantau,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan, Pelan Tindakan ASEAN–Korea Selatan 2026–2030 yang baharu diterima pakai akan menjadi peta hala tuju penting untuk lima tahun akan datang.
“Nilai sebenar pelan ini terletak pada bagaimana kita menggunakannya untuk mengemudi tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan Korea Selatan bagi mewujudkan ekosistem ekonomi serantau yang mampan dan seimbang.
“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan Korea Selatan, kita dapat membentuk ekosistem yang mencipta peluang baharu, sekali gus memupuk pertumbuhan inklusif, pasaran terbuka dan rantaian bekalan yang stabil,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, pembangunan modal insan yang bersedia untuk masa depan penting bagi memastikan rakyat di rantau ini mampu menjadi peneraju perubahan serta pencipta kemakmuran bersama.
“Kita perlu membangunkan modal insan yang bersedia untuk masa depan, agar rakyat kita mampu memimpin perubahan, menjadi inovator, usahawan dan pencipta kemakmuran bersama,” katanya.
Anwar menutup ucapan dengan menyatakan keyakinan bahawa perbincangan dalam sidang kemuncak kali ini akan memperkukuh perkongsian jangka panjang antara ASEAN dan Korea Selatan ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan saling bergantung.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


