Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: PM China seru pertahan keterbukaan demi kejayaan Asia Timur

Bernama 27/10/2025 | 08:30 MYT
Li Qiang ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur 3 (APT) ke-28 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: China bersedia memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan semua pihak serta mengekalkan keterbukaan dan kerjasama bagi bersama-sama mencipta lembaran pembangunan dan kejayaan baharu di rantau Asia Timur.


Ringkasan AI
  • PM Li Qiang menegaskan bahawa strategi pembangunan bersama dan keterbukaan telah membantu negara Asia Timur mengatasi perbezaan sistem sosial serta mengelak isu ekonomi daripada dipolitikkan.
  • Li menyatakan bahawa keterbukaan dan kerjasama telah merancakkan pasaran serantau dan mewujudkan peluang pembangunan bersama yang perlu terus dipertahankan.
  • Sepanjang tahun lalu, hubungan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh, mencerminkan keberkesanan pendekatan dialog dan penyelarasan serantau.


Perdana Menteri China Li Qiang berkata komitmen berterusan Asia Timur terhadap keterbukaan dan kerjasama telah membolehkan negara di rantau ini mengatasi perbezaan sistem sosial, mencapai kesalinglengkapan melalui kolaborasi, serta mengelak isu ekonomi daripada dipolitikkan atau dijadikan isu keselamatan.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur 3 (APT) ke-28 hari ini, beliau berkata walaupun negara-negara Asia Timur kini berada pada peringkat pembangunan yang berbeza berbanding dahulu, meneliti dan mempelajari sejarah boleh memberikan panduan serta inspirasi berharga untuk masa depan.

"Selama beberapa dekad, kerana kita mengekalkan keterbukaan dan kerjasama, kita dapat mengatasi perbezaan sistem sosial, memanfaatkan kekuatan serta corak ekonomi masing-masing, dan mencapai pelengkapan bersama antara negara.

"Keterbukaan dan kerjasama juga membolehkan kita mengelak isu ekonomi daripada dipolitikkan atau dijadikan isu keselamatan. Sebaliknya, kita mengurus dan menyelesaikan perbezaan melalui komunikasi, dialog dan penyelarasan, sekali gus meminimumkan gangguan terhadap pembangunan ekonomi," kata Li yang berucap dalam bahasa Mandarin.

Sidang Kemuncak ASEAN+3 yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Li, Menteri Luar Jepun Motegi Toshimitsu, dan Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung.

Perdana Menteri China itu menegaskan bahawa keterbukaan dan kerjasama turut memacu kemajuan berterusan dalam kesalinghubungan serantau, merancakkan lagi dinamik pasaran dan mewujudkan peluang pembangunan bersama.

"Keterbukaan dan kerjasama adalah pengalaman berharga yang diperoleh melalui amalan dan penerokaan selama bertahun-tahun. Kita harus menghargainya, kekal teguh terhadap komitmen ini, dan memastikan keterbukaan serta kerjasama terus berfungsi sebagai kekuatan utama menentukan ekonomi Asia Timur," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sepanjang tahun lalu, kerjasama ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan terus menunjukkan momentum positif, mencerminkan daya tahan dan kecekapan ekonomi Asia Timur.

-- BERNAMA




#ASEAN25 #China #Li Qiang #kejayaan Asia Timur #ASEAN Campur 3