Berita Terkini ASEAN25: Presiden Brazil gesa hentikan kekejaman di Gaza, kecam tragedi kemanusiaan rejim Zionis

Lula menyifatkan kekecewaannya melihat dunia hari ini lebih banyak membelanjakan dana untuk peperangan berbanding membantu rakyat yang kelaparan dan ditindas. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menyeru agar peperangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza dihentikan segera, sambil menyifatkan tindakan kejam rejim Zionis sebagai tragedi kemanusiaan yang tidak seharusnya berlaku dalam dunia bertamadun.
Ringkasan AI
- Presiden Brazil Lula da Silva gesa hentikan kekejaman di Gaza, menyifatkan tindakan Israel sebagai tragedi kemanusiaan dan menyeru dunia utamakan nasib wanita serta kanak-kanak Palestin.
- Lula kecewa dunia lebih banyak belanja untuk senjata berbanding menghapuskan kelaparan, sambil mengkritik kepimpinan Israel atas kematian puluhan ribu rakyat Gaza.
- Brazil sedia bantu cari penyelesaian damai bagi konflik Ukraine-Rusia dan menyeru dunia kembali kepada nilai kemanusiaan sejagat.
“Apa yang menyedihkan saya, tahun lalu dunia membelanjakan 2.7 trilion dolar Amerika untuk senjata, tetapi tidak sampai 10 peratus daripada jumlah itu digunakan untuk menghapuskan kelaparan.
“Dan apa yang lebih memilukan lebih 70,000 wanita dan kanak-kanak yang mati kebuluran di Gaza tidak akan kembali dan semua ini berlaku kerana sikap tidak bertanggungjawab seorang pemimpin politik di Israel,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara, pada Isnin.
Pada masa sama, Lula turut menekankan dunia kembali kepada nilai kemanusiaan sejagat dengan menyatakan bahawa perang tidak lagi boleh dijadikan alat penyelesaian politik.
Menyentuh mengenai krisis berlarutan melibatkan konflik antara Ukraine dan Rusia, Lula turut menyatakan kesediaan Brazil untuk membantu mencari penyelesaian damai.
“Sudah tiga tahun perang di Ukraine berlarutan.
“Semua pihak tahu apa yang mereka mahu. Sudah tiba masanya untuk duduk di meja rundingan dan tamatkan peperangan,” katanya lagi.
Lawatan Lula ke Malaysia merupakan sebahagian daripada rangka kunjungan beliau ke Asia Tenggara bagi memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan serta hubungan antara Brazil dan ASEAN, termasuk dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan global.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

