Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Presiden Lee Jae Myung seru kerjasama erat ASEAN banteras jenayah rentas sempadan

Seth Akmal 27/10/2025 | 02:50 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) menyambut ketibaan Presiden Lee Jae Myung di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung menggesa ASEAN dan Korea Selatan memperkukuh kerjasama keselamatan bagi membanteras peningkatan pusat jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa di rantau ini.

Jae Myung berkata, kawasan sempadan kini menjadi tumpuan kegiatan jenayah terancang seperti pusat penipuan dalam talian yang sering terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa.

“Kebelakangan ini, pusat jenayah seperti sindiket penipuan semakin berleluasa di kawasan sempadan yang sering menjadi titik buta kepada penguatkuasaan undang-undang.

“Malangnya, ramai anak muda telah menjadi mangsa jenayah rentas negara,” kata beliau semasa berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea (ROK) ke-26 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen Seoul untuk meneruskan kerjasama erat dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman bersama negara anggota ASEAN.

“Sebagai respons, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan telah bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi membanteras pusat jenayah terancang dan memperkukuh kerjasama agar jenayah rentas sempadan tidak mempunyai tempat di rantau ini,” tambahnya.

Seoul juga, tegas beliau, komited untuk meneruskan kerjasama erat dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman bersama negara anggota ASEAN.

“Kami juga akan berusaha menyelesaikan masalah ini melalui kerjasama rapat dalam bidang jenayah dan tradisional dengan setiap negara anggota ASEAN,” katanya.

Dalam ucapannya, Jae Myung turut menyatakan hasrat untuk berbincang bersama pemimpin ASEAN mengenai hala tuju baharu kerjasama ASEAN–ROK ketika dunia sedang mengalami perubahan besar dalam susunan antarabangsa.

“Saya menantikan perbincangan dengan rakan-rakan pemimpin ASEAN hari ini bagi menentukan arah masa depan kerjasama ASEAN–ROK dalam era transformasi tatanan global,” katanya.

Selain isu keselamatan, Presiden Jae Myung juga membentangkan tiga visi utama dasar ASEAN–ROK menjelang tahun 2029 bagi memastikan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua rantau.

Visi itu merangkumi peranan Korea sebagai penyumbang kepada komuniti ASEAN yang berpusatkan rakyat, pemangkin inovasi ekonomi rantau dengan sasaran perdagangan AS$300 bilion setahun, serta rakan utama dalam menjamin keamanan dan kestabilan serantau.

Kata Presiden Korea Selatan itu, visi berkenaan sejajar dengan matlamat Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan perpaduan, kemakmuran dan daya tahan rantau Asia Tenggara.






#Sidang Kemuncak ASEAN #Korea Selatan #Presiden Lee Jae Myung #jenayah rentas sempadan