MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Ratusan hadir 'Himpunan Trump Tidak Diterima' di Dataran Merdeka

Seth Akmal 26/10/2025 | 03:03 MYT
Peserta berpakaian hitam sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, sambil membawa sepanduk yang memaparkan beberapa slogan termasuk 'Stop U.S. Imperialism' serta 'Bebaskan Palestin'. - Foto Astro AWANI/Seth Akmal
KUALA LUMPUR: Ratusan peserta mula berhimpun di Dataran Merdeka pagi ini bagi menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Himpunan bertajuk 'Trump Tidak Diterima di Malaysia' itu disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk aktivis, pelajar universiti dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Peserta berpakaian hitam sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, sambil membawa sepanduk yang memaparkan beberapa slogan termasuk 'Stop U.S. Imperialism' serta 'Bebaskan Palestin'.

Pengerusi Boyccott, Divestment and Sanctions Malaysia, Profesor Mohd Nazari Ismail berkata, himpunan ini perlu kerana penaklukan rejim zionis Israel ke atas wilayah Gaza masih berlaku.

Demonstrasi bantah kehadiran Presiden Trump di Malaysia

“Kezaliman yang dikakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin tidak akan berlaku sekiranya Amerika Syarikat tindak membuta tuli menyokong tindakan genosid sekutunya itu.

“Sejumlah 58 peratus wilayah Gaza masih lagi diduduki oleh tentera Israel,” katanya, semasa ditemui Astro AWANI di Dataran Merdeka, di sini.

Turut kelihatan dalam perhimpunan itu ialah wakil parti pembangkang, aktivis hak asasi manusia dan kumpulan solidariti Palestin yang menyertai secara aman.

Penganjur turut mengedarkan risalah mengkritik dasar Washington yang dianggap berat sebelah terhadap Asia Barat.

Trump merupakan Presiden AS ketiga melawat Malaysia selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014.

Lawatan kali ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut mencetuskan bantahan berikutan dasar luar Amerika terhadap Palestin serta sokongan berterusan kepada rejim Zionis Israel.

Malaysia sebelum ini juga pernah menyaksikan protes terhadap pemimpin Amerika, termasuk bantahan terhadap Johnson pada 1966 yang berkaitan dengan Perang Vietnam, dan demonstrasi ketika lawatan Obama pada 2014 berhubung campur tangan Washington di Timur Tengah serta hubungan rapatnya dengan Israel.



#Himpunan Trump Tidak Diterima di Malaysia #Berita Terkini ASEAN25 #Donald Trump #Anwar Ibrahim #krisis Gaza