Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: ‘Siapa kata kita menyerah dengan Amerika Syarikat?’ – PM Anwar

Firdaus Azil 28/10/2025 | 10:37 MYT
Anwar (kanan) bercakap dalam sesi sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum tentang kritikan pihak-pihak tertentu yang melihat Malaysia seolah-olah ‘mengalah’ dengan Amerika Syarikat, termasuk perjanjian perdagangan kedua-dua pihak yang dimeterai baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • PM Anwar Ibrahim pertahan perjanjian perdagangan Malaysia-AS, sambil menegaskan ia tidak menghalang hubungan Malaysia dengan China, Rusia atau negara lain, dan mencerminkan kebijaksanaan diplomasi negara.
  • Anwar turut suarakan isu Gaza secara langsung kepada Presiden AS Donald Trump, termasuk gesaan pelan damai yang lebih komprehensif dan penekanan terhadap hak rakyat Palestin.
  • Beliau kecewa dengan pihak yang mempolitikkan isu ini, namun menegaskan tanggungjawabnya sebagai jurucakap Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Zionis di pentas antarabangsa.


Namun, beliau menegaskan, banyak manfaat yang diperolehi Malaysia apabila beliau berpeluang bertemu secara peribadi dengan Presiden AS Donald Trump .

Anwar berkata, biarpun perjanjian itu seolah-olah memberi lebih manfaat kepada Amerika Syarikat, namun apa yang pasti, ia tidak memberi hak kepada negara Barat itu untuk menghalang Malaysia mengadakan perjanjian perdagangan dengan seteru Amerika seperti China atau Rusia.

“Mereka mahu bicara soal rare earth, nadir bumi, soal semikonduktor, maritim, kita bersetuju, apa yang ada bagi (runding), tapi adakah ia menghalang kita dengan China? Tak ada. Dengan hubungan dua hala lain juga tidak.

“Kena hadam, kita patut bersyukur kita anak Malaysia, bangga kerana Malaysia harum namanya sekarang. Sebab itu kita sign kemudian Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, naik taraf perjanjian yang pertama antara ASEAN dengan China.

“Kalau takut dengan negara Amerika, mana mungkin kita sign dengan China, sehari lepas Trump pulang. Inilah kebijaksanaan diplomasi negara,” tegasnya lagi.

[TERKINI] Sidang Media Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025


Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau secara konsisten menyuarakan tentang isu penindasan terhadap penduduk Gaza, baik sewaktu di pertemuan peribadi beliau dalam kenderaan ‘The Beast’, sewaktu mesyuarat dua hala Malaysia-AS, malah di Sidang Kemuncak ASEAN-AS.

“Siapa kata kita mengalah, yang bincang bagi (pihak) Trump itu pasukan dia, tetapi yang bincang hati ke hati, empat mata itu saya dengan Trump. Dan jangan lupa, kita boleh menjerit di sini. Tetapi orang mati di Gaza, dibunuh, dibom.

Berita Terkini ASEAN25: Thailand pantau rapi pelaksanaan Perjanjian Damai KL

Caranya bagaimana? Maki Israel sudah, marahkan Amerika sudah. Tapi ini kesempatan kita berjumpa sendiri. Sekarang ini sekurang-kurangnya dengan campur tangan Amerika, telah dihentikan serangan. Dan dilarang penaklukan Tebing Barat. Apakah berhasil sepenuhnya? Tidak. Tetapi sekurang-kurangnya dihentikan serangan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Anwar pada masa yang sama turut menzahirkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak, yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan, tetapi beliau memilih untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan Jurucakap Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap kekejaman Rejim Zionis.

“Yang penting, saudara (rakyat Malaysia) mewakilkan kepada saya untuk menjadi jurucakap. Dan saya bercakap, untuk pertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza. Dalam sidang kemuncak, dalam mesyuarat dua hala, sidang. Yang bilateral.

“Kita ucap terima kasih (tentang pelan damai Gaza). Tetapi kita minta biarlah ia pelan komprehensif. Yang 20 perkara itu, tidak cukup komprehensif. Kerana tidak sebut tentang negara Palestin, tidak sebut tentang Tebing Barat.

“Tidak payah sokong saya. Tetapi bila kenyataan ini kita lakukan, berilah sokongan kepada pendirian Malaysia. Malaysia bernasib baik, dan Alhamdulillah kerana kita Pengerusi ASEAN. Dan Trump di sebelah sebelah saya, saya kata terima kasih Tuan Presiden. Soal Gaza ini, kkita selalu sebut, komprehensif.

“Komprehensif maknanya penyelesaian menyeluruh. Menyeluruh ini maknanya, menghormati hak rakyat Palestin, termasuk negara dia. Siapa yang sebut? Malaysia. Di depan siapa? Depan Donald Trump,” tegasnya lagi.





#ASEAN25 #Anwar Ibrahim #Donald Trump #Gaza #Amerika Syarikat #terkini