Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Sidang serlah kekuatan diplomasi negara - Fahmi

Bernama 27/10/2025 | 06:15 MYT
Fahmi bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2025 di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan menyerlahkan kekuatan serta kehalusan seni diplomasi Malaysia dalam mengemudi dinamika geopolitik antarabangsa, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Malaysia tunjuk kehebatan diplomasi dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, termasuk menjadi tuan rumah kepada peristiwa bersejarah seperti kemasukan rasmi Timor-Leste dan perjanjian damai Thailand-Kemboja.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji oleh Presiden AS Donald Trump atas peranan penting dalam memudah cara perjanjian damai serantau.
  • Malaysia kekal berkecuali dalam geopolitik, memanfaatkan diplomasi halus sebagai kekuatan utama, termasuk memeterai perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS.


Beliau berkata keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomasi yang disegani terbukti apabila Kuala Lumpur menjadi saksi kepada beberapa detik bersejarah di rantau ini, termasuk kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, permeteraian Perjanjian Damal Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, serta kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

"Malaysia, kita tidak ada ketenteraan yang besar dan kita adalah sebuah negara kecil, tetapi kita ada satu superweapon iaitu kehalusan seni diplomatik kita.

"Tidak boleh dinafikan para diplomat Malaysia merupakan antara yang terbaik di peringkat antarabangsa, tidak boleh dinafikan kita sudah pasti menjadi institusi paling dihormati," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman.

Fahmi berkata sebagai negara kecil yang menjadi tuan rumah ASEAN secara bergilir setiap 10 tahun dan setiap 11 tahun selepas penyertaan Timor-Leste, Malaysia tidak dapat memisahkan peranannya sebagai pengerusi daripada keadaan geopolitik dunia.

"Kita sedar ekonomi akan terkesan sekiranya kita tidak mengadakan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara rakan dagang...sebab itu cara Malaysia ialah tidak berpihak," katanya.

Sejarah tercipta di Kuala Lumpur semalam dengan termeterainya Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Perjanjian yang ditandatangani antara Thailand dan Kemboja di luar sidang rasmi itu merupakan langkah penting ke arah memupuk keamanan antara dua negara jiran Asia Tenggara, dengan Trump memuji peranan penting Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudah cara perjanjian damai itu.

Kuala Lumpur turut menjadi lokasi detik bersejarah buat ASEAN apabila blok serantau itu berkembang buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun, dengan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota penuh menerusi pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

Selain itu, AS dan Malaysia turut memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia, mengakhir rundingan dua hala selama berbulan-bulan.

Di bawah perjanjian itu, Washington komited untuk mengekalkan kadar tarif 19 peratus terhadap barangan asal dari Malaysia serta mengenal pasti 1,711 produk Malaysia yang akan menikmati kadar tarif timbal balas sifar peratus.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula semalam.

Sebanyak 30 pemimpin dan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Kanada menyertai sidang kali ini bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif.

-- BERNAMA





#ASEAN25 #Fahmi Fadzil #kekuatan diplomasi negara #Anwar Ibrahim #Donald Trump