Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Timor-Leste rasmi jadi negara anggota ASEAN ke-11

Shafiqa Azami 25/10/2025 | 04:10 MYT
Mohamad berkata, Malaysia dan seluruh negara anggota ASEAN, merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Timor-Leste atas pencapaian bersejarah ini.
KUALA LUMPUR: Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ASEAN ke-11 selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).


Ringkasan AI
  • Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ASEAN ke-11 selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dalam majlis di KLCC, disaksikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
  • Mohamad Hasan menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai pencapaian bersejarah yang memperkukuh solidariti serantau, serta membawa tenaga baharu, pandangan segar dan populasi muda ke dalam komuniti ASEAN.
  • Penyertaan penuh ini melambangkan komitmen Timor-Leste terhadap keamanan, kemakmuran dan ideal ASEAN, serta memperkayakan identiti kolektif politik, budaya dan ekonomi rantau Asia Tenggara.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyerahan ini menandakan kemasukan penuh Timor-Leste ke ASEAN, sekali gus memperluas skop organisasi tersebut untuk merangkumi semua negara berdaulat di rantau Asia Tenggara.

Bagi pihak Malaysia dan seluruh negara anggota ASEAN, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Timor-Leste atas pencapaian bersejarah ini.

“Hari ini, kita meraikan sebuah negara yang dibina atas keberanian, ketabahan dan harapan yang tidak pernah luntur ketika anda menyertai sebuah keluarga yang telah lama menantikan penyertaan penuh anda.

"Selamat datang ke keluarga ASEAN dan ke dalam Piagam yang kami junjung tinggi. Selamat datang saudara Benedict (Bendito dos Santos Freitas, Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Instrumen Penyertaan Timor-Leste kepada Piagam ASEAN dan SEANWFZ, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Sabtu.

Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menyatakan rasa bangga dan berbesar hati untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut bersama negara anggota lain.

Mohamad Hassan menyifatkan Piagam yang menjadi asas kepada visi bersama negara-negara anggota.

“Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, ia adalah nadi kepada visi bersama kita, suatu kerangka kepercayaan, hormat dan solidariti yang telah mengikat negara-negara kita yang pelbagai dalam mengejar keamanan dan kemakmuran.

"Dengan menerima Piagam ini, Timor-Leste berikrar untuk berjalan seiring dengan kita, menyulam aspirasi rakyatnya ke dalam fabrik komuniti ASEAN yang sentiasa berkembang,” katanya.

Melalui penyertaan dalam Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut menyatakan komitmen untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai rantau aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.

Penyertaan ini melambangkan kepercayaan kukuh Timor-Leste terhadap ideal ASEAN serta keyakinan terhadap masa depan kolektif rantau ini.

Beliau mengakui bahawa perjalanan Timor-Leste untuk mencapai tahap ini bukanlah mudah, bermula daripada perjuangan kemerdekaan, pembinaan negara, hingga usaha gigih untuk menyertai ASEAN.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa Timor-Leste membawa tenaga baharu, pandangan segar dan populasi muda yang bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan rantau.

“Kehadiran Timor-Leste membawa tenaga baharu, pandangan segar dan populasi muda yang bersedia menyumbang kepada kemajuan rantau.

Kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada kepelbagaian, dan penyertaan ini akan memperkayakan lagi identiti kolektif kita politik, budaya dan ekonomi,” ujarnya.



#Mohamad Hasan #ASEAN #Timor Leste #negara asean