Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Trump puji Malaysia sebagai negara hebat, sangat bertenaga

Bernama 27/10/2025 | 04:30 MYT
Trump merupakan presiden Amerika ketiga melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan Malaysia sebagai "negara yang hebat, sangat bertenaga" selepas menamatkan lawatan dua hari di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


Ringkasan AI
  • Donald Trump puji Malaysia sebagai negara hebat dan bertenaga selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • AS tandatangani perjanjian penting dengan Malaysia melibatkan perdagangan dan mineral nadir bumi, serta perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja.
  • Lawatan dua hari ini merupakan kunjungan rasmi pertama Trump ke Malaysia sejak menjadi presiden kali kedua, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13.


Dalam catatan Truth Social beliau pada Isnin, semasa berlepas ke Jepun, Trump berkata AS telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi penting dengan Malaysia, penganjur persidangan berkenaan.

Selain itu, katanya yang paling penting adalah beliau turut menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Ahad.

"TIADA PERANG! Berjuta-juta nyawa diselamatkan.

"Suatu penghormatan untuk saya melakukan ini. Sekarang, ke Jepun!!!," tulis presiden ekonomi terbesar dunia itu.

Trump tiba di Malaysia sekitar 10 pagi semalam untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan dan berlepas pada 10.06 pagi hari ini, sekali gus menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia dan penyertaan pertamanya dalam sidang kemuncak pemimpin ASEAN sejak menaiki jawatan presiden buat kali kedua pada Januari lepas.

SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG ASEAN25 DI SINI

Pada Ahad, Trump bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan pemeteraian perjanjian damai bersejarah digelar Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL) antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Beliau turut menandatangani perjanjian perdagangan dengan Thailand dan Kemboja semalam.

Dalam jadual padatnya semalam, Trump juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar, menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Mineral Penting antara Malaysia dan AS.

Pemimpin AS itu juga menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 semalam.

Trump merupakan presiden Amerika ketiga melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.

-- BERNAMA





#Donald Trump #ASEAN25 #Anwar Ibrahim #Malaysia #TRUTH Social