Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Ulang tahun kelahiran Presiden Lula dirai di Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN

Syafik Shukri Jalil 27/10/2025 | 15:00 MYT
Anwar, mengambil kesempatan meraikan Lula di pentas utama dengan iringan lagu Happy Birthday sambil ditemani isteri Lula, Rosangela Lula da Silva. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Ulang tahun kelahiran ke-80 Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, berlangsung dalam suasana penuh mesra pada Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, malam ini.

Majlis berprestij itu dihadiri pemimpin-pemimpin negara ASEAN serta tetamu khas seperti rakan dialog ASEAN, menandakan simbol penghargaan terhadap peranan aktif Brazil dalam memperkukuh hubungan dengan rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil kesempatan meraikan Lula di pentas utama dengan iringan lagu Happy Birthday sambil ditemani isteri Lula, Rosangela Lula da Silva.

Terdahulu, pentas malam gala diwarnai suasana penuh harmoni dengan para tetamu diraikan dengan persembahan kebudayaan yang mencerminkan semangat perpaduan antara negara-negara anggota.

Antara yang menarik perhatian adalah persembahan tiga penyanyi tersohor negara melibatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M.Nasir dan Dayang Nurfaizah.

Siti Nurhaliza mempersembahan medley dua lagu membabitkan Bukan Cinta Biasa dan Seindah Biasa, Datuk M.Nasir (medley Mentera Semerah Padi dan Raikan Cinta).

Manakala Dayang Nurfaizah mempersembahkan medley One in a Million dan Crazy in Love dan mengakhiri kemunculannya dengan lagu popular dendangan Katy Perry iaitu Roar.

Terdahulu menerusi acara pembukaan, pentas malam gala turut diwarnai persembahan Best of ASEAN Performing Arts (B.O.A.P.A) yang membariskan tarian daripada kesemua 11 negara anggota blok.

Selain itu, pentas malam gala diserikan dengan persembahan lagu-lagu Medley membariskan lagu rakan dialog ASEAN termasuk dari Australia (Powderfinger-My Happiness), China (Chuan Zi-Jin Sheng Yuan), India (Dost Dost Na Raha Pyar Pyar) dan New Zealand (Tutira Mai Nga Lwi).





#ASEAN #sidang kemuncak #perpaduan #negara angggota