[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
MALAYSIA

[BERITA TERKINI] PRN Sabah: Bung Moktar tiba dengan laungan Radu Tetap Radu

Syaff Syukri 15/11/2025 | 00:55 MYT
Dari kiri, Jafry, Bung Moktar dan Wan Rosdy tiba di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, pagi ini, untuk proses penamaan calon PRN Sabah ke-17. - Foto Astro AWANI
KINABATANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tiba di Dewan Sri Lamag, di sini, pada jam 8.27 pagi untuk proses penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Tiba dengan laungan Radu Tetap Radu, beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN tersebut tiba bersama calon BN dan penyandang kerusi DUN Sukau, Datuk Jafry Arifin.

Kedua mereka diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan beberapa pemimpin parti.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berjaya memenangi kerusi DUN Lamag pada PRN16 dalam saingan lima penjuru dengan memperoleh 3,035 undi dengan mencatatkan majoriti tipis 661.

Manakala Jafry berjaya mempertahankan kubu kuat BN di DUN Sukau dengan memperoleh 3,763 undi dengan majoriti selesa sebanyak 2,129 dalam saingan lima penjuru.

Selain Bung dan Jafry, tiga calon dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk kerusi DUN Lamag (Johainizamshah Johari) Kuamut (Datuk Mansiung Banah) dan Sukau (Datuk Juhari Janan) tiba pada jam 8.20 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah.



#Bung Moktar Radin #PRN Sabah #penamaan calon #DUN Lamag