[BERITA TERKINI] PRN Sabah: Ribuan meriahkan penamaan calon, saingan DUN bawah Tuaran dijangka 6 kerusi
![[BERITA TERKINI] PRN Sabah: Ribuan meriahkan penamaan calon, saingan DUN bawah Tuaran dijangka 6 kerusi [BERITA TERKINI] PRN Sabah: Ribuan meriahkan penamaan calon, saingan DUN bawah Tuaran dijangka 6 kerusi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763165625_penamaancalonprn.jpg)
Petugas dewan membuat persiapan bagi menghadapi proses penamaan calon di pusat penamaan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran. --fotoBERNAMA
TUARAN: Suasana di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Seri Sulaman pagi ini meriah dengan kehadiran ribuan penyokong pelbagai parti yang hadir memberikan sokongan kepada calon masing-masing sempena penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ringkasan AI
- Ribuan penyokong parti politik berkumpul di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Sulaman pagi ini sempena penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
- Empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tuaran telah menarik minat calon, dengan DUN Kiulu dan Tamparuli dijangka menyaksikan pertandingan lapan calon.
- Berbagai parti politik seperti PKR, DAP, BN, GRS, Warisan, STAR, dan lain-lain bersaing di 73 DUN Sabah, dengan PR menetapkan undi awal pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November.
Penyokong yang berpakaian warna tema parti masing-masing mula membanjiri kawasan sekitar dewan seawal jam 7 pagi dengan membawa bendera, sepanduk serta melaungkan sorakan.
Untuk DUN-DUN di bawah Parlimen Tuaran, saingan dijangka sekurang-kurangnya enam hingga lapan penjuru, dengan setakat ini DUN Kiulu dan Tamparuli menyaksikan lapan nama calon diumum akan bertanding.
Sementara DUN Sulaman, yang disandang oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, kemungkinan menyaksikan saingan enam penjuru.
Proses penamaan calon akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 pagi, diikuti dengan semakan borang pencalonan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Senarai calon yang layak bertanding dijangka diumumkan sebelum tengah hari ini.
Setakat ini, PKR mengumumkan 12 calon dan DAP tujuh calon, semuanya bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).
Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di 45 kerusi manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 DUN.
Sementara itu, Parti Warisan, Parti Impian Sabah, dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah masing-masing akan bertanding di semua 73 DUN, diikuti Perikatan Nasional (41 DUN), STAR (46 DUN), KDM (40 DUN), Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), SAPP (enam calon) serta 17 calon Bebas yang bergerak di bawah platform "Gelombang Hitam".
SPR menetapkan 25 November ini sebagai undi awal, manakala 29 November sebagai hari pengundian.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

