Berita Tidak Benar: Keputusan wujudkan Mahkamah Khas tertakluk kepada senarai kes

Hafiz Marzukhi
April 5, 2018 03:52 MYT
Ujar Azalina, keputusan itu tertakhluk kepada senarai kes yang akan dipantau Jabatan Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, - Gambar fail
Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan Mahkamah Khas untuk mendengar kes berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan sama ada Mahkamah Khas akan diwujudkan bergantung kepada senarai kes yang difailkan.
"Sebenarnya, kerajaan tidak bercadang lagi (untuk mewujudkan Mahkamah Khas) dan kita boleh lihat bilangan Mahkamah Sesyen di peringkat negeri adalah banyak.
"Walau bagaimanapun, sama ada mahkamah akan mewujudkan Mahkamah Khas tertakluk kepada senarai kes yang akan dipantau Jabatan Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri," kata Azalina.
Beliau menjawab soalan tambahan dari Datuk Takiyuddin Hassan (Pas - Kota Bharu) berhubung kemungkinan Mahkamah Khas ditubuhkan bagi tujuan mendengar kes yang melanggari Akta Antiberita Tidak Benar 2018 ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
#Akta Antiberita Tidak Benar 2018 #berita tidak benar #Dewan Rakyat #fake news #isu semasa #Jabatan Perdana Menteri #mahkamah khas