MALAYSIA

Berjalan kaki ke Mekah dari Sabah, misi dua beranak warga Indonesia cetus keraguan

Ridzal Abdullah 03/07/2025 | 23:30 MYT
Dua individu warga Indonesia yang mendakwa sedang dalam misi berjalan kaki dari negara asal mereka menuju ke Mekah ditahan pihak berkuasa ketika berada di Lahad Datu, malam kelmarin.
LAHAD DATU: Dua individu warga Indonesia yang mendakwa sedang dalam misi berjalan kaki dari negara asal mereka menuju ke Mekah ditahan pihak berkuasa ketika berada di Lahad Datu, malam kelmarin.

Difahamkan, kehadiran dua beranak tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan selepas rakaman video mereka tular di media sosial, sehingga mencetuskan aduan awam.

Susulan itu, sepasukan polis telah menahan mereka sebelum merujuk kes tersebut kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Arifin berkata, kedua-dua mereka ditemui ketika cuba mendapatkan tempat bermalam di sebuah masjid di daerah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat orang awam dan video yang tersebar di media sosial, pihak kami bersama polis telah menemui mereka dan menjalankan sesi soal siasat,” katanya.

Siasatan awal mendapati kedua-duanya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berasal dari Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Mereka mendakwa sedang dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah secara berjalan kaki dan memulakan perjalanan mereka dari Tawau.

Kedua-dua beranak ini mendakwa sedang dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan umrah secara berjalan kaki dan memulakan perjalanan mereka dari Tawau.


Namun, kata Mardi, tindakan tersebut menimbulkan keraguan memandangkan laluan yang dipilih iaitu melalui Sabah bukan satu laluan lazim, malah bertentangan dengan kebiasaan syariat yang tidak mewajibkan ibadah umrah kepada individu yang tidak berkemampuan.

Tambah membimbangkan, dua beranak itu juga didapati melakukan siaran langsung menerusi platform TikTok dan YouTube serta menerima sumbangan daripada orang ramai sepanjang perjalanan mereka.

“Pihak kami berpandangan tindakan ini boleh menimbulkan kekeliruan serta memberi kesan negatif terhadap imej agama Islam, terutamanya di Sabah. Kami telah menasihatkan mereka agar menghentikan perjalanan tersebut,” katanya lagi.

Menurut beliau, kedua-dua individu itu akhirnya akur dan telah dihantar ke terminal bas untuk kembali semula ke Tawau, sebelum berhasrat pulang ke negara asal.

Kedua-dua beranak itu turut memberi jaminan tidak akan meneruskan perjalanan ke Mekah melalui negeri ini.

Sementara itu, pihak JHEAINS menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya menyalurkan sumbangan sama ada secara fizikal mahupun digital khususnya kepada pihak yang tidak jelas tujuannya.

“Perbuatan seperti ini boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan agama demi kepentingan peribadi,” ujar Mardi lagi.




#dua beranak Indonesia #Jheains #misi ke Mekah #jalan kaki ke Mekah