MALAYSIA

Berjaya lonjak bidang AI di Malaysia, PM Anwar puji usaha MaiStorage

Astro Awani 22/05/2025 | 07:50 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Maistorage Technology di Putrajaya pada Khamis. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan penghargaan terhadap syarikat pemula tempatan MaiStorage Technology Sdn Bhd yang berjaya membawa nama Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI).


Ringkasan AI
  • MaiStorage Technology Sdn Bhd berjaya membawa nama Malaysia dalam bidang AI, dengan kerjasama bersama NASA, menjadikannya antara pemain industri storan AI terkemuka dunia.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan MaiStorage, menyatakan bahawa syarikat ini memberi lonjakan istimewa kepada Malaysia dalam teknologi AI dan transformasi digital.
  • Malaysia telah lama menceburi bidang elektrik dan elektronik (E&E), dan Anwar yakin penglibatan lebih banyak syarikat pemula seperti MaiStorage akan terus memacu industri ini ke hadapan.


Jelasnya, beliau bangga dengan kejayaan MaiStorage yang merupakan antara pemain industri storan AI terkemuka dunia dengan menjalinkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat itu membuktikan kehebatan anak Malaysia di pentas dunia.

"Mengapa saya pilih hadir dan memberikan sokongan, kerana ini meletakkan kita dalam satu usaha yang agak baru kita sebut dalam konteks Madani daya cipta dan dalam memastikan tahap kemajuan yang lebih besar.

"Ada beberapa bidang yang kita terokai yang agak sukar dan kita bernasib baik anak-anak kita tempatan yang sudah menjelajah seantero dunia dan meletakkan industri yang berjaya di dunia Phison dan bersetuju meletakkan asas di sini.

"Sebab itu saya hargai rakan-rakan, khususnya kementerian MITI, TalentCorp, Kerajaan Selangor yang berikan dokongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Maistorage Technology di Putrajaya pada Khamis.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku AbduL Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Tambah Anwar, Malaysia telah menceburi bidang elektrik dan elektronik (E&E) sejak tujuh dekad lalu dan kejayaan dapat dilihat kini dengan penglibatan lebih banyak syarikat pemula dan beliau yakin industri itu akan terus berkembang di negara ini.

"Tetapi kita belum ke tahap ke depan atau 'front-end', walaupun sekarang sudah mula advance packaging, design, jadi ada satu tahap kemajuan.

"Tetapi MaiStorage merupakan satu langkah yang kita terokai agak awal dan menjadikan kita satu lonjakan yang sangat istimewa dalam lapangan AI. Jadi ini kebanggaan kita, saya ucap sekali lagi penghargaan," katanya lagi.




#MITI #Anwar Ibrahim #AI #MaiStorage #terkini