NATIONAL

Berlakon diculik, pelajar universiti, rakan didakwa tipu ibu, tuntut tebusan RM2.9 juta

Bernama 13/05/2025 | 11:00 MYT
Ye Yingxi berbaju hitam (dua dari kanan) dan Zhang Runbao bertopi biru (empat dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua penuntut sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu ibu seorang daripada mereka dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.

Ringkasan AI
  • Dua penuntut universiti di Singapura mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu ibu salah seorang daripada mereka dengan lakonan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan RM2.9 juta.
  • Mereka didakwa menipu ibu Ye dengan video penculikan palsu dan meminta wang tebusan sebanyak lima juta Yuan (RM2.9 juta) dimasukkan ke dalam akaun di China.
  • Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman dan mereka berdepan hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, yang merupakan warga China didakwa menipu ibu Ye iaitu Cheng Zhiwen dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Ye diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
Tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta Cheng memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke dalam satu akaun di China dengan kesemua perbuatan itu ialah lakonan bagi mendorong Cheng menyerahkan wang tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara 11.44 pagi hingga 9.15 malam, 2 Mei lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda manakala Seksyen 511 berdepan hukuman penjara tidak lebih setengah daripada tempoh paling lama diperuntukkan di bawah Seksyen 420, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua lelaki terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Azrul Darus yang menetapkan sebutan kes pada 27 Mei ini membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.
-- BERNAMA
#kes culik palsu #berlakon diculik #tipu ibu #warga china