HARI ini terlakarnya sejarah di Malaysia, di mana semua organisasi komersial tidak boleh lari dan wajib berjaga-jaga, berhati-hati serta senantiasa patuh kepada peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

1 Jun 2020, adalah tarikh keramat di mana pelaksanaan Seksyen 17A (Prinsip Liabiliti Korporat) akan dikuatkuasakan serta-merta hari ini.

Peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 telahpun menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial.

Peruntukan ini menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan jenayah rasuah yang besar terutamanya bagi organisasi komersial di mana sekiranya mana-mana warga pekerja atau pihak bersekutunya didapati bersubahat dengan niat jahat dan melakukan perbuatan jenayah rasuah bagi faedah tersurat mahupun tersirat di dalam organisasi tersebut demi kelangsungan perniagaan masing-masing.

Semua organisasi komersial amat digalakkan merencanakan penyediaan satu Pelan Tindakan dan Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu industri menggunakan apa jua langkah dan inisiatif komprehensif dan inklusif bagi mengurangkan risiko potensi rasuah terus berlaku dalam organisasi mereka.

Klarifikasi berkenaan Garis Panduan Tatacara Mencukupi ini juga seperti mana termaktub di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi membantu organisasi komersial memahami ‘tatacara mencukupi’ untuk dilaksanakan bagi mencegah amalan jenayah rasuah dan mempersiapkan organisasi dengan kewajipan norma baharu ini yang mana akan membawa faedah berganda kepada keuntungan perniagaan.

Untuk makluman, di bawah Seksyen 17A(8), ‘organisasi komersial’ merujuk kepada (i) syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; (ii) syarikat asing yang berniaga di Malaysia; (iii) perniagaan perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961 dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, serta (iv) perniagaan perkongsian asing yang berniaga di Malaysia.

Sekiranya mana-mana syarikat yang disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17A, syarikat tersebut boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 17A(2) yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, ruang dan peluang sebagai pembuktian kepada organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai "prosedur yang mencukupi" dalam operasi perniagaan mereka.

Seperti mana tulisan saya terdahulu, Seksyen 17A turut memperuntukkan dua jenis mekanisme pembelaan kepada pengarah, atau pegawai, atau rakan kongsi syarikat/perkongsian seandainya syarikat/firma perkongsian mereka didakwa di bawah Seksyen 17A.

Kes pembelaan pertama, Seksyen 17A(3) memperuntukkan pembelaan kepada pengurusan syarikat untuk membuktikan bahawa kesalahan rasuah tersebut berlaku tanpa persetujuan, keizinan atau pengetahuan mereka dan mereka telah berusaha untuk memastikan tiada aktiviti rasuah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Untuk kes pembelaan kedua, Seksyen 17A(4) telah memperuntukkan bahawa pengurusan syarikat tersebut boleh membela diri menggunakan alasan bahawa syarikat tersebut telah mempunyai prosedur dan polisi antirasuah (Pelan Tindakan Antirasuah) yang mencukupi bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang aktiviti rasuah oleh kakitangan syarikat tersebut.

Seksyen 17A(4) adalah amat penting dalam memastikan proses kepada pembuktian pembelaan untuk kes ini boleh dilakukan kelak.

Semata-mata menyatakan kepada mahkamah bahawa syarikat anda mempunyai tatacara prosedur antirasuah tetapi tidak mempunyai pelaksanaan yang baik dan mencukupi juga tidak cukup kuat untuk dijadikan pembelaan.

Peranan dan kebertanggungjawaban unit governans dan integriti (Integrity Governance Unit - IGU) yang diletakkan di bawah lembaga pengarahnya harus dilihat lebih agresif dan proaktif dalam membangunkan dan menggubalkan pelan antirasuah bagi agensi mereka.

IGU akan melapor hasil keberkesanan terhadap pelaksanaan tindakan berkaitan aspek governans, integriti dan anti-rasuah untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Antirasuah (JAR) organisasi masing-masing.

Kewujudan Institut Integriti Malaysia (IIM) di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sebagai badan operasi bagi pembangunan kompetensi dan kapasiti sektor awam dan korporat dalam hal berkaitan governans, integriti dan antirasuah akan terus proaktif serta komited untuk membantu mana-mana organisasi / agensi komersial dalam merealisasikan pembangunan, penggubalan “tatacara mencukupi”.

Kami di Institut Integriti Malaysia senantiasa bersedia membantu organisasi komersial/korporat membangunkan dan menggunakan instrumen dan kaedah bersesuaian ke arah pembudayaan tadbir urus yang baik, berintegriti tinggi dan perangi jenayah rasuah.

Di antara ‘instrumen’ dan sistem pengurusan itu adalah Latihan kesedaran dan pencegahan berkenaan Governans, Integriti & Antirasuah kepada Lembaga Pengarah syarikat dan GLC, Anti-Bribery Management Systems (ABMS) dan Corruption Risk Management (CRM).

Tidak ketinggalan, Organisational Anti-Corruption Plan (OACP), Individual Integrity Profile (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB), Integrity Assessment dan Ethics and Integrity Training Programme (E&I).

Semua organisasi komersial dan sektor awam seharusnya mematuhi integriti bukannya mengkhianati integriti.



* Hamilye Sham Harun merupakan Pengurus Besar Kanan, Bahagian Khidmat Korporat, Institut Integriti Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.