NATIONAL
BERNAS selaras harga beras import, perkukuh jaminan makanan negara
Bermula hari ini (15 Mei), harga BPI di semua pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) hari ini memperkukuhkan peranannya sebagai rakan strategik keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan pelarasan harga Beras Putih Import (BPI).
Ia adalah selaras dengan pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini.
Bermula hari ini (15 Mei), harga BPI di semua pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan.
Bagaimanapun, program subsidi BPI Kerajaan bagi negeri Sabah dan Sarawak masih diteruskan seperti biasa.
BERNAS dalam satu kenyataan menjelaskan, langkah proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong usaha kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta mengurangkan impak kenaikan harga pasaran global.
"Ia secara langsung membolehkan pengguna untuk mendapatkan bekalan beras import pada harga yang lebih rendah dan sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat," kata BERNAS dalam kenyataan itu.
Dalam masa sama, BERNAS turut memberi jaminan bahawa bekalan di negara ini adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.
Menurut BERNAS, beras putih juga diimport daripada negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar.
"Pendekatan ini dibuat bagi memastikan bekalan beras negara adalah terjamin, tanpa perlu bergantung kepada satu sumber dan dalam masa yang sama melindungi stok penimbal negara," katanya.
Sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, BERNAS komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengurus stokpail secara mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara.
Selain itu, BERNAS turut menjalankan tanggungjawab sosialnya terhadap komuniti pesawah.
Susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu, BERNAS telah menyalurkan Peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selaras dengan komitmen syarikat menyokong usaha kerajaan MADANI membela kebajikan pesawah miskin.
Peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat kepada KPKM dan pembayaran terakhir sebanyak RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac 2025. Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta juga sudah selesai disalurkan kepada kerajaan pada 28 Mac 2025.
Peruntukan khas itu merupakan wang ihsan syarikat BERNAS dan bukannya dana awam.
BERNAS juga berikrar untuk terus bekerjasama rapat dengan KPKM serta pemain-pemain industri, sekaligus mengukuhkan dedikasinya terhadap matlamat keterjaminan makanan negara.
Syarikat ini kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang kementerian berkenaan, dengan mengutamakan kebajikan pesawah dan menjamin kemampanan bekalan beras negara.