[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Berpaksikan data, DOSM lestarikan pembangunan Kampung Angkat MADANI

Malekah Aisyah 17/12/2025 | 06:12 MYT
Mohd Uzir (tengah) ketika di Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di Sabak Bernam, Selangor pada Isnin. - Foto DOSM
SABAK BERNAM: Usaha mempertingkatkan pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merasmikan dan menyerahkan projek fizikal di Kampung Baharu, Sabak Bernam, Selangor, pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Usaha mempertingkatkan pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merasmikan dan menyerahkan projek fizikal di Kampung Baharu, Sabak Bernam, Selangor, pada Isnin.
  • Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang lebih kukuh antara kerajaan, agensi teknikal, rakan industri serta komuniti setempat dalam memperkasa pembangunan luar bandar. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, nilai kemanusiaan serta pemerkasaan komuniti melalui pendekatan holistik dan berasaskan data.
  • Sebagai platform pembangunan setempat yang dilaksanakan secara tersusun, Program Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada penggilapan potensi kampung secara menyeluruh, meliputi dimensi ekonomi, sosial, budaya dan pembangunan modal insan.


Majlis perasmian dan penyerahan projek berkenaan disempurnakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin di Balai Raya Kampung Baharu.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Awaluddin Zakaria.

Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang lebih kukuh antara kerajaan, agensi teknikal, rakan industri serta komuniti setempat dalam memperkasa pembangunan luar bandar. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, nilai kemanusiaan serta pemerkasaan komuniti melalui pendekatan holistik dan berasaskan data.

Program ini berteraskan enam nilai utama iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan yang menuntut penglibatan aktif rakyat dalam pembangunan serta peningkatan kualiti hidup secara inklusif.

Di bawah kerangka ini, kemajuan kampung tidak hanya dinilai melalui pembangunan infrastruktur fizikal, tetapi turut merangkumi aspek ekonomi, tahap pendidikan, kualiti hidup dan pengukuhan perpaduan sosial, dengan data yang tepat sebagai asas pembuatan dasar.

Mohd Uzir ketika memberi ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI, Sabak Bernam, Selangor. - DOSM


Sebagai platform pembangunan setempat yang dilaksanakan secara tersusun, Program Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada penggilapan potensi kampung secara menyeluruh, meliputi dimensi ekonomi, sosial, budaya dan pembangunan modal insan.

Program ini turut menggalakkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan sekali gus memperluas akses kepada teknologi, kepakaran serta peluang ekonomi baharu bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk.

Dengan kedudukannya sebagai kawasan pertanian utama Selangor serta kekuatan komuniti yang bersatu padu, Kampung Baharu, Sabak Bernam dikenal pasti berpotensi besar untuk muncul sebagai model pembangunan kampung yang berjaya di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan program ini, sebanyak tujuh projek fizikal dan sosial telah dilaksanakan.

Antaranya termasuk penambahbaikan Balai Raya Kampung Baharu, naik taraf tanah perkuburan, fasiliti pengurusan jenazah di Masjid Jamek Mahmudiah, penambahbaikan premis perniagaan di lot kedai serta penyediaan peralatan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu.

Turut dilaksanakan ialah penambahbaikan pagar dan dataran permainan prasekolah serta Program Komuniti Sejahtera MADANI yang merangkumi aktiviti menceriakan kampung, kesedaran kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Sebagai agensi kampung angkat, DOSM memainkan peranan penting melalui pendekatan pembangunan berpandukan data. Pemilihan Kampung Baharu membolehkan penyediaan profil sosioekonomi terperinci merangkumi struktur penduduk, keadaan isi rumah, kegiatan ekonomi, akses pendidikan dan kesihatan serta kemudahan infrastruktur asas.

Pendekatan ini membolehkan keperluan sebenar penduduk dikenal pasti dengan lebih tepat, sekali gus memastikan setiap intervensi pembangunan dirancang dan dilaksanakan secara bersasar dan berkesan.

DOSM turut mengenal pasti peluang ekonomi, menilai risiko serta memastikan setiap projek sejajar dengan keperluan setempat.

Dalam masa sama, DOSM komited meningkatkan literasi statistik dalam kalangan komuniti menerusi program kesedaran dan bimbingan penggunaan data bagi perniagaan kecil serta pertanian pintar, ke arah melahirkan masyarakat celik data yang mampu membuat keputusan berasaskan maklumat sahih.

DOSM turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam, pemimpin setempat serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Program Kampung Angkat MADANI ini.

Sesi bergambar beramai-ramai usai Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI menjadi simbolik kebersamaan yang jitu. - Foto DOSM


Malaysia sebelum ini mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain, melonjak ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.

Sebagai kesinambungan kepada usaha keterbukaan dan pendigitalan data negara, OpenDOSM NextGen menyediakan katalog data serta visualisasi bagi memudahkan analisis pelbagai maklumat yang boleh diakses menerusi portal https://open.dosm.gov.my .





#DoSM #Kampung Angkat MADANI #Ketua Perangkawan Malaysia #Pembangunan Luar Bandar #Pembangunan Modal Insan #data