Bersatu kaji cadangan perkasakan ahli bukan Bumiputera

Firdaus Azil
Ogos 30, 2020 02:35 MYT
MPT Bersatu akan kaji cadangan tubuhkan Badan Ahli Bersekutu bagi memperkasakan ahli bukan Bumiputera dalam parti.
Dakwaan pembukaan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada bukan Bumiputera akan menyebabkan parti lari daripada matlamat asal adalah tidak tepat, tegas Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Larut itu berkata kedudukan bukan Bumiputera sebagai Ahli Bersekutu sudahpun diperincikan dalam Perlembagaan Parti iaitu dalam asal 7 (Keahlian), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli).
Ketika ini, beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti.
“Oleh yang demikian, kenyataan dari beberapa pihak yang mendakwa Bersatu telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat.
“Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, Bersatu mengiktiraf sumbangan serta peranan Ahli Bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Pada 22 Ogos lepas, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berkata parti itu bersedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang terdiri daripada bukan Bumiputera mempunyai peranan yang lebih meluas.
Menerusi cadangan itu, beliau berkata bukan Bumiputera kelak bukan sahaja boleh menjawat jawatan lebih tinggi, tetapi turut bersama-sama memberi idea untuk memajukan parti.
Bagi merealisasikan aspirasi itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
BACA: Bersatu sedia pinda perlembagaan untuk kaji status ahli bersekutu – Muhyiddin
BACA: Saifuddin sambut baik kesediaan Bersatu terima bukan Bumiputera
#Ahli Bersekutu #ahli bukan Bumiputera #Badan Ahli Bersekutu #Bersatu #Bumiputera #Hamzah Zainuddin #Muhyiddin Yassin #PPBM