Bersatu tidak halang Pas kerjasama dengan UMNO - Muhyiddin

Umavathi Ramayah
Mei 17, 2022 04:27 MYT
Muhyiddin berkata, meskipun Bersatu sebahagian daripada PN namun parti itu sendiri tidak mengetahui strategi sebenar gabungan itu. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menghalang mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas untuk bekerjasama dengan UMNO.
Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, setakat ini Bersatu masih lagi sebahagian daripada PN dan pendekatan itu diambil sebagai usaha penyatuan ummah.
"Pada dasarnya kita tidak menghalang mana-mana parti dalam PN untuk mengambil apa-apa langkah, kerana ia berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.
"Kalau dilihat pada sejarah, kita pun pernah hendak sertai Muafakat Nasional (MN) dulu, tapi kita ditolak walaupun sudah dijelaskan secara rasmi.
"Jadi, ini usaha yang Pas hendak ambil, tetapi sama ada ia akan berhasil wallahu a'lam (hanya Tuhan yang tahu), saya tak dapat nak pastikan kerana daripada kenyataan UMNO, termasuk presiden yang terkini pun mengatakan, bahawa sudah sampai masa tiada lagi MN," katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN ke-15/2022 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Katanya, meskipun Bersatu sebahagian daripada PN namun parti itu sendiri tidak mengetahui strategi sebenar gabungan itu.
"Tapi tak mengapa, kita tidak menghalang, kita menghormati, (namun) akan sampai tahap nanti dapat keputusan yang muktamad, sama ada jadi atau tidak.
"Tetapi dari sudut PN, kita masih lagi dalam PN. Dan Pas, dalam pertemuan saya pada Hari Raya dengan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan, katanya masih lagi istiqamah dalam PN.
"Tetapi apa Pas nak buat, kita nak buat, ada usaha tertentu. Tak mengapa. Akhirnya kita akan duduk semeja bincang apa yang baik untuk PN, dan yang penting, apa yang baik untuk negara," tambahnya.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata parti itu akan terus mempertahankan hubungan bersama UMNO kerana agenda penyatuan ummah yang menjadi tunjang utama MN lebih besar berbanding “survival” atau kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.
#Muhyiddin Yassin #Penyatuan Ummah #kerjasama UMNO-Pas #Muafakat Nasional