Skip to main content

Malaysia

BERSIH gesa kerajaan perjelas asas larangan Waze kepada penjawat awam

BERSIH menekankan keperluan ketelusan dan penyediaan alternatif berkesan sebelum sekatan dilaksanakan, agar keperluan pengguna tidak terjejas. - Gambar fail
BERSIH menekankan keperluan ketelusan dan penyediaan alternatif berkesan sebelum sekatan dilaksanakan, agar keperluan pengguna tidak terjejas. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa menjelaskan secara terperinci penilaian risiko keselamatan yang menjadi asas larangan penggunaan aplikasi Waze oleh penjawat awam.
  • BERSIH menekankan keperluan ketelusan dan penyediaan alternatif berkesan sebelum sekatan dilaksanakan, agar keperluan pengguna tidak terjejas.
  • Larangan penggunaan Waze bertujuan melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjelaskan secara terperinci penilaian risiko keselamatan yang menjadi asas kepada arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, bagi memastikan keputusan itu difahami orang ramai.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan aspek ketelusan dalam membuat keputusan kerajaan, khususnya apabila ia melibatkan kebimbangan terhadap keselamatan data dan penggunaan aplikasi digital.

Menurutnya, sekiranya penilaian keselamatan telah dilaksanakan, hasil serta rasional di sebalik keputusan berkenaan perlu diperincikan supaya rakyat memahami risiko yang ingin ditangani.

“Penting untuk kerajaan menjelaskan dengan lebih terperinci penilaian keselamatan dan risiko berkaitan aplikasi yang didakwa mempunyai kaitan dengan Mossad.

“Penjelasan perlu diberikan sebelum atau ketika sesuatu keputusan dilaksanakan supaya rakyat memahami rasional tindakan kerajaan dan tidak menimbulkan persoalan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu. 

Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut penggunaan Waze oleh penjawat awam, sebaliknya perlu mengambil kira keselamatan rakyat secara menyeluruh.

Beliau merujuk insiden letupan alat komunikasi di Lubnan dan Syria pada 2024, sebagai peringatan mengenai kepentingan keselamatan teknologi komunikasi, namun menegaskan kerajaan perlu menjelaskan secara jelas kaitan risiko yang dikenal pasti dengan keputusan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan kerajaan perlu menyediakan alternatif yang benar-benar berkesan sebelum memperkenalkan sekatan terhadap penggunaan sesuatu aplikasi.

Katanya, aplikasi navigasi digunakan orang ramai bagi memudahkan perjalanan, termasuk mencari lokasi dan merancang pergerakan ke destinasi yang tidak biasa dikunjungi.

“Kerajaan sepatutnya lebih bersedia menyediakan pilihan alternatif sebelum membuat pengumuman. Jika aplikasi tempatan seperti TuJu mahu dijadikan pilihan, ia perlu diperkemas supaya setanding atau lebih baik daripada aplikasi sedia ada.

“Alternatif itu perlu benar-benar berfungsi dengan baik dan mampu memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Faisal berkata, usaha memperkukuh aplikasi tempatan juga penting bagi memastikan pengguna mempunyai pilihan yang diyakini, tanpa menjejaskan kemudahan harian mereka.

Beliau menegaskan keseimbangan antara keperluan keselamatan negara, ketelusan dasar dan kemudahan pengguna perlu diberikan perhatian dalam pelaksanaan sebarang sekatan berkaitan teknologi digital.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia.

Beliau berkata langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze, termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.

Rabu lepas, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze, bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Must Watch Video

Advertisement