TELUK INTAN: Pertengkaran membabitkan pengawal keselamatan di Hospital Teluk Intan, di sini , seperti yang tular di media sosial dipercayai berpunca daripada keluarga pesakit enggan mematuhi peraturan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Adnan Adnan Basri, pihaknya menerima dua laporan polis dibuat oleh penyelia pengawal keselamatan hospital tersebut, dan pengawal keselamatan bertugas mengenai satu rakaman video pendek di laman Facebook.

Ahmad Adnan berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku susulan isu menghantar salinan x-ray oleh waris kepada pesakit yang berada di wad perempuan di luar waktu melawat.

"Tempoh lawatan yang dibenarkan oleh pihak hospital bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 2 petang bagi sesi pagi, dan sebelah petang bermula 4.30 petang sehingga 7 malam.

"Kejadian didapati berlaku di luar waktu lawatan yang dibenarkan oleh pihak hospital iaitu pada jam 11 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang bertugas membenarkan waris pesakit melawat sekiranya waris yang sedang menjaga pesakit di dalam wad mahu ditukar.

"Keengganan waris dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan mewujudkan provokasi kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas sehingga berlaku pertengkaran," jelasnya.

Sementara itu, katanya laporan pengawal keselamatan itu membabitkan dirinya yang tular di dalam video berkenaan.

Ujarnya lagi, perkara itu sudah diambil perhatian dengan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar pautan video dapat dipadamkan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung video berkenaan.

Pihak polis turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat membabitkan video yang tular untuk tampil membantu siasatan.

Terdahulu, dalam video tular itu, kelihatan seorang pengawal keselamatan lelaki ditenangkan oleh rakan sekerja supaya tidak meneruskan pertengkaran dengan keluarga pesakit.