Seekor beruang matahari yang mengganggu dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Jenang, di sini berjaya ditangkap pagi tadi.

Beruang seberat 70 kilogram itu dikesan memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) kira-kira jam dua pagi Jumaat di belakang sebuah rumah penduduk kampung itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mustaffa Deraman berkata sebelum ini dua ekor beruang dikesan merosakkan serta turut menganggu kediaman penduduk sejak empat bulan lalu.

Katanya susulan kejadian itu para penduduk terpaksa menanggung kerugian lebih RM2,000 selepas tanaman kelapa mereka dirosakkan haiwan berkenaan.

“Pada pukul 2 pagi tadi masuklah seekor beruang bersama pasangan tetapi pasangan telah keluar daripada perangkap dan dapat tangkap seekor yang jantan,” kata Mustaffa.

Menurut Mustaffa lagi, walaupun seekor beruang telah berjaya ditangkap, namun kebimbangan tetap menghantui mereka susulan seekor lagi yang dipercayai seekor beruang betina masih bebas.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung laporan terbabit.

Bagi langkah awal, pihak Perhilitan akan memasang perangkap bagi menangkap haiwan itu.

Dalam pada itu, beruang matahari atau nama saintifiknya helarctos malayanus yang dianggarkan berusia lapan tahun itu akan dihantar ke Taman Negara Terengganu.