Beruang matahari ceroboh kampung, penduduk bimbang keselamatan keluarga

Astro Awani
Jun 4, 2020 09:28 MYT
Penduduk berharap Perhilitan mengambil tindakan segera menangkap beruang berkenaan. Gambar hiasan/ Bernama
Selepas 35 tahun mendiami Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B, dekat Gua Musang, Kelantan, 300 keluarga kini dilanda kebimbangan akibat gangguan beruang matahari.
Penduduk yang sebelum ini tidak pernah diganggu haiwan liar yang ganas sejak tinggal di penempatan itu, mengakui kehidupan mereka agak terjejas sejak kebelakangan ini.
Antara yang paling terkesan adalah pengusaha madu kelulut yang mengalami kerugian apabila sarang kelulut mereka di kampung itu musnah dimakan beruang terbabit yang sering berkeliaran di situ.
Seorang peneroka, Ismail Yusof, 62, berkata tiga sarang kelulut yang diusahakan sejak lima tahun lalu dirosakkan beruang berkenaan yang masuk ke kawasan kediamannya tiga malam berturut-turut, baru-baru ini.
"Inilah kali pertama saya tengok beruang, dia serang sarang kelulut saya. Tiga malam berturut-turut dia masuk. Kami buat bising untuk menghalaunya, tapi ia tidak peduli.
"Beruang itu tidak kelihatan takut kepada manusia dan jeritan kami," katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk, Rokiah Sulaiman, berkata tidak pernah mengalami ancaman sedemikian selama ini kerana yang paling teruk mereka hadapi adalah kera.
"Gangguan kera tidak serius sangat sebab haiwan itu tidak ganas dan lari apabila dihalau. Tapi beruang matahari ini, pertama kali kami tengok dan ia tidak takut.
"Kami sekeluarga termasuk anak dan cucu saya takut nak keluar rumah sekarang kerana bimbang terserempak dengan beruang matahari," katanya yang memberitahu penduduk sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Siti Zaliha Mohd pula meminta Perhilitan mengambil tindakan segera menangkap beruang berkenaan.
"Kami harap sangat Perhilitan dapat perangkap dan tangkap haiwan ini. Kami takut ada serangan terhadap manusia jika ia tidak ditangkap.
#ancaman #beruang #beruang matahari #ganas #ganggu #Gua Musang #kacau #Kelantan #madu kelulut #manusia #Matahari #Perhilitan
;