Walaupun rakyat mempunyai perbezaan ideologi politik, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk memastikan sentimen terhadap negara khususnya dalam perhatian orang luar sentiasa positif.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani memberitahu, perbuatan memburukkan negara sendiri di luar negara adalah sesuatu yang merugikan kerana ia boleh memberi kesan terhadap penilaian agensi-agensi penarafan antarabangsa.

Beliau diminta mengulas mengenai sentimen negatif pasaran susulan kenyataan agensi penarafan Moody’s yang menyentuh aspek hutang negara berdasarkan pertukaran kemungkiran kredit atau CDS.

“Agensi-agensi penarafan ini dia bukan sahaja menilai sesebuah negara berdasarkan kepada fundamental (aspek asas), malah ia juga mengambil kira suasana politik semasa dan sentimen dalam negara hingga menyebabkan mereka beranggapan begitu.

“Sebab itu kita sebagai rakyat Malaysia kena main peranan bagi memastikan bahawa walaupun berbeza pendapat dalam ideologi politik, perkara yang lebih penting adalah rakyat negara ini tidak boleh memburukkan negara sendiri dalam pandangan dunia luar,” ujar beliau.

Tambah Johari, senario perhimpunan dan demonstasi jalanan seperti Bersih 4 dan juga Himpunan Kebangkitan Melayu boleh mengakibatkan pihak luar termasuk agensi-agensi penarafan serta para pelabur melihat Malaysia seolah-olah tidak memiliki kestabilan politik.

Jelas beliau, walaupun ciri yang dinilai agensi penarafan sebahagian besarnya berdasarkan nilai asas, perkara-perkara seperti demonstrasi jalanan perlu juga dicari jalan penyelesaian.

Beliau memberi contoh, laporan dan gambaran keadaan di Syria dan Mesir membuatkan banyak pihak takut untuk ke negara-negara tersebut. Maka, begitu juga dengan persepsi pihak luar yang tidak pernah mengenali Malaysia tetapi disogok dengan pelbagai perkembangan yang tidak menyenangkan tentang Malaysia.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan cetus situasi sebegini,” kata beliau.