Biar dibelenggu kes mahkamah, Najib tidak tolak kemungkinan bertanding dalam PRU

Reuters
September 19, 2021 08:40 MYT
Bercakap kepada Reuters pada Sabtu, Najib berkata, hilang kelayakan itu - "bergantung kepada tafsiran". - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya.
Dalam wawancara khas bersama Reuters, bekas Presiden UMNO itu dilihat tidak terhalang dengan kes-kes yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
Mengikut peruntukan undang-undang, Najib, yang sebelum ini telah disabitkan atas pendakwaan berhubung dana RM42 juta SRC International di peringkat Mahkamah Tinggi telah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya seterusnya.
BACA: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International
BACA: Najib masih boleh jalankan tugas sebagai Ahli Parlimen
Namun, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan sekiranya rayuan beliau sehingga ke peringkat tertinggi diterima atau menerima Pengampunan Diraja.
Bercakap kepada Reuters pada Sabtu, Najib berkata, hilang kelayakan itu – “bergantung kepada tafsiran”.
“Ia bergantung kepada tafsiran dari sudut undang-undang, Perlembagaan Persekutuan atau apa jua yang berlaku dalam perbicaraan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau masih ingin mempertahankan kerusinya, Najib berkata: “Mana-mana ahli politik yang ingin terus memainkan peranan, pasti mahukan tempat di dalam Parlimen."
Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, Najib enggan mengulas lanjut bagaimana beliau keluar dari sekatan Perlembagaan Persekutuan.
Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Susulan keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, beliau dikenakan hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta, namun, beliau mendapat pelepasan dari menjalani hukuman selagi proses rayuan di peringkat seterusnya belum berakhir.
#Najib Razak #bertanding PRU #ahli Parlimen #1MDB