MALAYSIA

Biar jauh beribu batu, Malaysia tetap di jiwa Norman dan Kho

Bernama 03/08/2025 | 04:00 MYT
Norman yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang, kini giat memperkenalkan masakan Malaysia khususnya di London menerusi kelas memasak, acara pop-up serta penerbitan buku masakan. - Gambar koleksi peribadi Norman Musa
KUALA LUMPUR: Meskipun sudah sekian lama menetap di luar negara, cef terkenal yang berpangkalan di United Kingdom, Norman Musa dan pengusaha restoran di China, Jasmine Kho masih mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Menerusi penglibatan dalam bidang kulinari, Norman dan Kho tampil sebagai duta budaya yang bangga mewakili Malaysia memperkenalkan kekayaan warisan negara kepada dunia melalui sajian tradisional.

Norman, merupakan chef yang pernah memenangi pelbagai anugerah berasal dari Butterworth, Pulau Pinang, kini giat memperkenalkan masakan Malaysia khususnya di London menerusi kelas memasak, acara pop-up serta penerbitan buku masakan.

"Menerusi makanan, saya dapat mendekati ramai orang di UK dan Belanda. Ia bukan sekadar memperkenalkan masakan Malaysia kepada masyarakat di sini tetapi turut membolehkan saya menjalinkan hubungan dengan pencinta makanan dari pelbagai latar belakang di UK. Dan ia membuatkan saya rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia dan mewakili sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian dan budaya.

"Saya ada ramai kawan penggemar makanan yang memperjuangkan masakan tradisi masing-masing. Dengan mereka, saya berkongsi ilmu dan idea, dan melaluinya saya mendapat penghormatan kerana memperjuangkan masakan Malaysia, sepertimana juga mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Sambutan sangat menggalakkan. Acara seperti ini sememangnya amat baik untuk mempromosikan masakan Malaysia," katanya sambil memaklumkan selain di London, beliau turut menganjurkan acara di Amsterdam dan Rotterdam sempena penerbitan buku masakan Malaysianya dalam bahasa Belanda tahun lepas.

Norman yang tidak asing dalam dunia kulinari antarabangsa turut dilantik sebagai Duta Makanan Kuala Lumpur pada 2015 dan sejak itu giat menganjurkan pelbagai acara di seluruh Eropah bagi mempromosikan ibu negara sebagai destinasi gastronomi.

"Sehingga kini, saya masih melihat diri sebagai wakil Malaysia. Antara acara yang saya sedang usahakan ialah Lawatan Kulinari ke Malaysia yang dijadual pada April 2026. Saya pernah anjurkan program sama pada 2022 dan ia berjaya dengan sokongan Tourism Malaysia. Saya amat berharap mereka akan menyokong saya sekali lagi tahun depan," katanya.

Norman yang bangga dengan identitinya sebagai rakyat Malaysia turut menyifatkan Bulan Kebangsaan sebagai satu peluang bermakna untuk menzahirkan semangat patriotisme.

"Arwah ibu saya pernah pesan, "walau setinggi mana pun nama dikenali, jangan sesekali lupakan asal usul dan dari mana kita datang". Sebab itu walaupun saya dah menetap di UK lebih separuh usia saya, saya masih anggap diri ini sebagai seorang perantau dari Malaysia.

"Satu hari nanti, saya pasti akan kembali dan menetap di Malaysia. Buat masa ini, saya masih merasakan diri ini sebagai pembawa panji negara, memperjuangkan masakan tempatan di Eropah sambil menerima sokongan daripada rakyat Malaysia dan juga kerajaan," katanya.

Sementara itu, Kho yang mengendalikan restoran Laksa Queen di Beijing berkongsi mengenai hasratnya yang ingin memperkenalkan masakan tempatan tercetus apabila menyedari kekurangan cita rasa Malaysia di China.

"Saya mengambil masa 10 tahun untuk mempromosikan Laksa Sarawak, kerana pada mulanya warga China menyangka ia makanan barat. Semasa saya mengkaji semula resipi laksa nenek saya, saya mendapati satu perkara penting dalam Laksa Sarawak iaitu keseimbangan 36 jenis herba dan rempah dari Laluan Sutera Maritim - China, Timur Tengah, India dan Asia Tenggara - bersatu dalam semangkuk hidangan yang begitu seimbang.

"Ia ibarat persahabatan antara negara yang mengimpikan keamanan. Bagi saya, ini sangat kuat dan melangkaui sekadar semangkuk laksa," kata Kho yang berasal dari Kuching, Sarawak dan telah menetap di China hampir 20 tahun.

Kho berkata, matlamat pembukaan restorannya bukan semata-mata kerana usaha perniagaan tetapi juga bagi memelihara warisan budaya.

Identiti restoran itu sememangnya berteraskan Malaysia dengan hiasan dalamannya direka khas untuk membawa pelanggan mengimbau suasana kopitiam era 1960-an, lengkap dengan hiasan seperti tin susu pekat, poster vintaj dan mural besar menggambarkan empat generasi dalam keluarga di premis Laksa Queen.

"Mural itu sangat peribadi. Anak perempuan saya, Adia, digambarkan memakai pakaian tradisional Orang Ulu sambil memegang semangkuk Laksa Sarawak yang dinikmatinya ketika berusia enam bulan.

"Anda juga dapat lihat nenek saya sedang menumbuk rempah, nenek sebelah ibu membuat kuih Teochew, dua beradik menjual mi kari di Pulau Pinang, nenek berusia 90-an di Kuching yang masih menguruskan kopitiam serta pelbagai lagi babak berkait dengan akar budaya saya," katanya.

Walaupun mengakui terdapat pelbagai cabaran dalam mempromosikan masakan Malaysia di luar negara, Kho menekankan semangat dan ketekunan amat penting dalam mendidik pasaran, dan pasukannya juga giat menyebarkan kisah budaya di media sosial, sekali gus berjaya membina kumpulan pelanggan setia sepanjang lebih sedekad.

Sempena Bulan Kebangsaan, Kho berkata, kehidupannya di perantauan selama bertahun-tahun menguatkan lagi rasa bangga terhadap identitinya sebagai rakyat Malaysia dengan keyakinan budaya yang semakin kukuh dalam diri.

-- BERNAMA



#chef #Norman Musa #Jasmine Kho #rakyat Malaysia #Bulan Kebangsaan