'Biarlah saya bersuara dari perspektif saya' - Ahmad Husni

Dania Zainuddin
Oktober 11, 2016 05:04 MYT
HUSNI: Akan suarakan pandangan secara terbuka. Foto oleh BERNAMA
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan menyuarakan pandangan secara terbuka tanpa memihak kepada mana-mana parti politik pada sidang Parlimen akan datang.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, beliau berharap peluang itu diberikan dan menekankan ia adalah bagi kebaikan demi masa depan negara.
"Pada sidang Parlimen, apabila debat bajet bermula, saya akan menyuarakan pandangan dan bercakap dari minda tentang segala-galanya.
"Ia bukan soal hari ini, tetapi soal masa depan kita. Saya akan jelaskan percanggahan dan apa yang perlu dilakukan.
"Saya harap saya diberi peluang dan saya sudah bersedia. Saya sudah melihat apa yang berlaku, biarlah saya bersuara dari perspektif saya," kata Ahmad Husni ketika ditemui selepas satu sidang media di sini, pada Selasa.
Pada Jun lalu, Ahmad Husni bulan lalu telah meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan II termasuk beberapa jawatan dalam UMNO dan BN Perak sebelum pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, beliau masih lagi memegang tiga jawatan utama iaitu ahli badan perundangan Parlimen, Presiden Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD) dan juga sebagai Ahli Parlimen Tambun sehingga tempoh jawatan tersebut berakhir pada 2018 atau Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan.
Sebelum ini juga, beliau menegaskan peletakan jawatan beliau dalam Kabinet dan UMNO tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
#1MDB #bajet #Husni Hanadzlah #Sidang Parlimen