PUTRAJAYA: Walaupun terdapat pendirian yang berbeza, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida yang komited untuk melihat proses keamanan di Gaza dan Tebing Barat.

Perdana Menteri dalam sidang media bersama di Putrajaya pada Ahad berkata, PM Kishida telah memberikan komitmen untuk membantah pendudukan haram Israel di Tanah Palestin; menyokong keamanan di rantau tersebut; dan menggesa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

“Ketika ini, kemusnahan akibat serangan bom ke Gaza jauh melebihi kemusnahan di Hiroshima sewaktu Perang Dunia Kedua,” katanya lagi.

Anwar berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Jepun, yang merupakan salah satu anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengurangkan penderitaan yang sedang dihadapi rakyat Palestin ketika ini.

Sementara itu, Kishida berkata, Jepun tegas bahawa semua pihak harus elakkan melakukan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang antarabangsa.

“Jepun telah menyuarakan kepentingan bahawa semua pihak yang terlibat secara langsung harus bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa, harus mengelakkan ketegangan daripada berlarutan, dan biarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza,” katanya lagi.

[TERKINI] Sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PM Jepun


Selain itu, Kishida berkata, beliau turut menyuarakan pandangan kepada Anwar tentang keperluan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, peperangan Ukraine-Rusia, serta konflik yang sedang berlaku di Myanmar.

“Dalam dunia ini, perubahan terhadap status quo dengan cara kekerasan dan paksaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai lain-lain perkara, Anwar berkata, mereka turut berbincang tentang isu pelepasan air terawat dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, di mana beliau berharap agar Kishida akan terus mengambil kira pandangan dan kerisauan yang disuarakan bukan sahaja Malaysia, tetapi negara-negara lain di rantau ini, mengenai kemungkinan akibat tindakan tersebut.

Selain itu Anwar berkata, sebagai negara peserta untuk Asia Zero Emissions Community (AZEC), Malaysia dan Jepun komited untuk terus memperhebatkan usaha mengurangkan karbon, dan mencapai aspirasi sifar pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih tinggi.

“Sebagai negara pengeksport gas cecair asli (LNG) yang besar ke Jepun pada 2022, melibatkan 31 peratus daripada keseluruhan eksport ke negara itu, Malaysia memainkan peranan yang penting dalam kemampanan rantaian bekalan untuk keselamatan tenaga Jepun.

“Malaysia memberi jaminan untuk meneruskan komitmennya berhubung perkara ini,” kata Perdana Menteri lagi.