MALAYSIA
Bicara kes rasuah bekas Setiausaha Politik Hamzah Zainudin 25 Ogos

Sayed Amir Muzzakkir didakwa menerima dan meminta suapan daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd sebagai balasan membantu mendapatkan tender bernilai RM381.1 juta berkaitan perkhidmatan penyelenggaraan sistem RMPNet untuk PDRM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM350,000, akan bermula 25 Ogos ini di Mahkamah Sesyen di sini.
Ringkasan AI
- Perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir Al Syaed Mohamad yang berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM350,000 akan bermula pada 25 Ogos hingga 28 Ogos di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pembelaan dijadual menyerahkan pernyataan pada 22 Ogos.
- Dia didakwa menerima dan meminta suapan daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd sebagai balasan membantu mendapatkan tender bernilai RM381.1 juta berkaitan perkhidmatan penyelenggaraan sistem RMPNet untuk PDRM.
- Pendakwaan akan memanggil 20 saksi dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzakkir berkata pembelaan akan mengemukakan pernyataan di bawah Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebelum tarikh perbicaraan.
Pendakwaan akan memanggil 20 saksi.
Pada 23 Mei lepas, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd Wan Azhar Mohamed Yusof sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan infrastruktur, pelayan, perisian dan radio pengguna Sistem RMPNet untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381.1 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas pada 4 dan 16 Dis 2020.
Sehari kemudian, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan sama di pejabat Nexuscorp di Seksyen 7, Shah Alam awal Disember 2020.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes di Shah Alam telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami