Bicara penuh bagi kes saman Nurul Izzah terhadap KPN, Ismail Sabri

Bernama
Jun 17, 2016 08:09 MYT
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khalid dan Ismail Sabri untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Nurul Izzah (gambar). -Foto fail
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Hakim Datuk John Louis O'Hara, semasa menolak permohonan itu berkata, mahkamah berpandangan bahawa saman itu patut dibenarkan untuk menjalani perbicaraan penuh, dan menetapkan 8 Mei, 2017, bagi perbicaraan.
Beliau turut menasihati kedua-dua pihak mempertimbangkan untuk menyelesaikan saman itu menerusi mediasi dan menetapkan 18 Julai bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak berbincang berhubung usaha mediasi.
Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, memfailkan saman itu pada 26 Nov tahun lepas mendakwa Khalid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman pada hari sama.
Beliau turut mendakwa Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada hari sama dalam satu acara di Bera, Pahang.
O'Hara memutuskan saman Nurul Izzah memberikan alasan munasabah untuk diambil tindakan, tidak bersifat semberono, remeh-temeh, skandal dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Hakim mengarahkan kedua-dua defendan, Khalid dan Ismail Sabri, masing-masing membayar RM2,500 sebagai kos perundangan kepada Nurul Izzah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram, yang didakwa mengarahkan serangan dan pencerobohan Sabah pada 2013.
Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau ialah seorang pengkhianat kepada negara dan dalang insiden pencerobohan Sabah.
#Ismail Sabri #Jacel Kiram #Jamalulail Kiram #Khalid Abu Bakar #Nurul Izzah #saman fitnah