Bidang pendidikan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam perbincangannya dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan perkara melibatkan penurunan kuasa.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata, langkah itu bagi memastikan isu berkaitan pendidikan sering dengan keperluan negeri, khususnya penggunaan Bahasa Inggeris yang digunakan dengan meluas di negeri itu.

Menurutnya, antara perkara yang akan beliau tangani bersama Kerajaan Persekutuan mengenai penurunan kuasa itu ialah kuasa mengenai pendakwaan kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri, pentadbiran sukan di Sarawak dan alam sekitar.

"Juga mengenai hal ehwal kewangan, termasuk yang mempunyai kaitan dengan yuran dan lesen bagi perkhidmatan serta perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan semakan semula Geran Khas kepada Negeri mengikut Perkara 112D; perkapalan, termasuk lampu dan boya, serta kapal karam dan penyelamatan; dan kerja raya di negeri ini yang mempunyai kaitan dengan persekutuan.

"Perkara berkaitan kesihatan, kebajikan, pelancong, perikanan, warisan dan perumahan juga akan dibincangkan dalam penurunan kuasa itu" katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Adenan berkata, bagi mempermudahkan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan perkara melibatkan penurunan kuasa itu, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurutnya, jawatankuasa itu mengandungi empat jawatankuasa kecil iaitu yang melibatkan hak dari segi perlembagaan, kewangan dan pembiayaan, perkara pentadbiran dan perancangan pembangunan dan pelaksanaan.

Menurutnya, perkara yang menjadi keutamaan beliau ialah memastikan Sarawak dan rakyatnya memperoleh manfaat daripada pelaksanaan beberapa perkara secara lebih cekap dan berkesan, yang kini terkandung dalam senarai persekutuan dan bersama.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memulakan perbincangan dengan Sarawak mengenai penurunan lebih banyak kuasa kepada beberapa jabatan di bawah Kerajaan Sarawak.